Ad

Wednesday 5 February 2014

Rodriguez tak cedera - Irfan


 

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
sukan@utusan.com.my
Irfan Abd. Ghani, mengadakan sidang media selepas memberi kenyataan kepada pihak polis di Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN
JOHOR BAHRU - Perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team yang ditangguhkan Sabtu lalu seharusnya diteruskan kerana tiada sebarang insiden tidak diingini terjadi seperti didakwa sebelum ini.

Pemain T-Team, Muhd. Irfan Abdul Ghani berkata, walaupun tidak melihat sendiri insiden yang hangat diperkatakan itu, namun sewaktu berada dalam bilik persalinan, dia tidak nampak sebarang kecederaan pada individu yang terbabit.

"Saya berada di tepi padang ketika mereka berjalan masuk terowong dan apa yang saya lihat adalah jurulatih kecergasan T-Team menolak jurulatih JDT, Cesar Ferrando Jiminez.

"Apa yang terjadi di dalam terowong saya tidak nampak, namun sewaktu berada dalam bilik persalinan, tiada sebarang kecederaan di bahagian muka Elvaldo Rodriguez yang dikatakan ditumbuk sehingga hidungnya berdarah.

"Malah individu yang dikatakan tercedera dalam insiden tersebut juga hadir dalam sesi latihan keesokan hari tanpa sebarang masalah," katanya.

Muhd. Irfan, yang dahulunya bekas pemain JDT, berkata demikian kepada wartawan selepas memberi keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini semalam.

Dia menegaskan kenyataannya itu dibuat dengan kerelaan hati tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan dia bersedia menerima sebarang tindakan daripada pihak pengurusan T-Team.

Perlawanan pusingan kedua Piala FA yang berlangsung di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos itu dihentikan pada separuh masa pertama apabila T-Team yang ketinggalan 1-2 tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan.

Beberapa saksi mendakwa Rodriguez ditumbuk oleh pegawai tertinggi Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), manakala Stefano Impagliazzo pula disepak di bahagian kemaluannya.

Muhd. Irfan memberitahu, rata-rata pemain bersedia untuk meneruskan permainan pada separuh masa kedua, namun penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar membuat keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan.

"Alasan diberikan kerana isu keselamatan para pemain tetapi menurut pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pihak keselamatan, tidak timbul isu sedemikian.

"Sebagai pemain, kami semua hanya menurut keputusan yang dibuat apatah lagi jurulatih, Azraai Khor Abdullah juga tidak berkata apa-apa berhubung keputusan tersebut," katanya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140206/su_01/Rodriguez-tak-cedera---Irfan#ixzz2sULrZ2XP © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment