Oleh M. Rizal Nor
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Jika mahu
melihat Harimau Malaya melangkah jauh di peringkat antarabangsa, Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) perlu bersedia berpijak di bumi nyata dengan bersedia
mengorbankan prinsipnya dalam soal penggunaan pemain naturalisasi dalam skuad
kebangsaan.
Demikian pandangan ikhlas
jurulatih PDRM dan bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh yang beranggapan
sudah tiba masanya perkara itu dinilai semula demi peningkatan mutu bola sepak
negara walaupun sukar diterima oleh sesetengah pihak.
Tambahnya, sebagai orang yang
sudah lama berkecimpung dengan pahit maung bola sepak negara, beliau berasakan
mutu kebanyakan pemain tempatan masih tidak mampu memberi cabaran di pentas
tertinggi antarabangsa.
Harimau Malaya memerlukan
beberapa pemain naturalisasi untuk menampung segala kelemahan yang ada di
dalam skuad.
"Jika mahu pergi jauh,
saya rasa mahu atau tidak, kita kena bersedia korbankan prinsip kita selama ini
dalam isu penggunaan pemain naturalisasi dan membuat apa yang dilakukan oleh
Filipina.
"Bukan saya mahu
memperlekehkan keupayaan pemain tempatan, namun sebagai seorang yang telah
lama mengikuti perkembangan bola sepak tempatan semenjak bergelar pemain dan
jurulatih, saya tahu kita belum ada ramai pemain berkualiti dan boleh bermain
di luar negara.
"Kita memang ada ramai
pemain berbakat di bahagian tengah, namun tidak di aspek serangan dan
pertahanan.
"Kita memerlukan
sekurang-kurangnya dua pemain import yang mungkin boleh diberi taraf kerakyatan
iaitu di pemain pertahanan dan penyerang, ini dua bahagian yang cukup kritikal
dalam skuad kebangsaan," katanya ketika dihubungi, semalam.
Walaupun begitu, Dollah
menasihatkan pengambilan pemain import yang diberikan taraf kerakyatan ini
bukanlah sekadar tangkap muat semata-mata sambil menjadikan Singapura sebagai
contoh terbaik.
Malah, beliau berharap
pengambilan pemain import bukan satu penyelesaian jangka pendek semata-mata
tanpa ada sebarang tindakan susulan bersifat jangka panjang.
"Kita lihat seperti contoh
negara jiran kita iaitu Singapura yang saya rasakan pemain-pemain naturalisasi
mereka sebenarnya mungkin hanya lebih baik sedikit sahaja daripada
pemain-pemain tempatan kita.
"Kalau hendak ambil pun
biarlah berkualiti seperti dicadangkan iaitu Paulo Rangel yang tampak begitu
konsisten sepanjang saingan liga dengan menjaringkan gol pada tiap perlawanan.
"Cuma satu masalah yang
saya bimbangkan jika kita mengambil pemain naturalisasi ini adalah yang kita
terlalu bergantung kepada kelompok-kelompok pemain ini dan selepas mereka tiada
seperti bersara, kita tidak mampu mencari pengganti setanding," katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung
FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, berkata, pihaknya tidak berhasrat menukar polisi
mengambil pemain luar dan diberikan taraf kerakyatan kerana prosesnya terlalu
rumit kerana melibatkan urusan kerajaan.
Namun, Persatuan Pemain-Pemain
Bola Sepak Profesional (PFAM) melalui Presidennya, Hairuddin Omar, menyokong
cadangan mengambil pemain naturalisasi dengan jumlah terhad bagi menampung di
bahagian penyerang.
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140506/su_07/Korbankan-prinsip---Dollah-Salleh#ixzz30zOuLsdX
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment