Ad

Friday, 16 May 2014

Qariah Selangor lengkapkan bacaan 30 peserta


KUANTAN 16 Mei - Menjadi peserta terakhir memperdengarkan bacaan pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-57 di sini malam ini adalah sesuatu yang tidak disangkakan oleh qariah dari Selangor, Nor Faizah Panut, 25.

Menurut Nor Faizah yang juga mahasiswa Sarjana Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sejak hari pertama pertandingan, dia sememangnya tidak sabar untuk mengambil giliran kerana pelbagai persediaan telah dilakukan.

"Saya memang tertunggu-tunggu giliran untuk membaca. Malam ini tiba juga giliran saya iaitu pada malam terakhir tilawah dan paling tidak disangka menjadi peserta yang terakhir.

"Bagaimanapun, ia satu kelebihan bagi saya kerana dapat membuat pemerhatian daripada qari dan qariah lain untuk memperbaiki dan memperkemaskan bacaan terutama dalam aspek kelancaran sebutan," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Nor Faizah antara 10 peserta yang memperde­ngar­kan bacaan pada malam terakhir majlis tilawah yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini.

Majlis Penutup Ti­lawah al-Quran Pe­ringkat Kebangsaan Ke-57 malam esok dijadual disempurnakan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan akan dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Da­tuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sementara itu, ibu kepada seorang cahaya mata berusia enam bulan ini juga sentiasa memastikan mendapat rehat yang mencukupi agar dapat memperdengarkan bacaan dengan sempurna.

"Selain menekankan latihan dalam pelbagai aspek, saya juga pastikan mendapat rehat yang mencukupi," jelas Nor Faizah.

Qari dari Terengganu, Ahmad Tirmizi Ali, 29, pula mengakui debaran kian memuncak menjelang malam akhir pertandingan sementelah dia merupakan peserta pertama memperdengarkan bacaan malam ini.

"Insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik dan beberapa jam sebelum pertandingan bermula saya hanya menumpukan bagi mendapatkan rehat yang cukup.

"Setelah menjalani pelbagai latihan terutama dalam mengawal pernafasan saya bertawakal kepada Allah dan akan melakukan yang terbaik," katanya yang juga juara Akademi al-Quran musim keempat.

Sementara itu, bagi juara menunggu, Hanimzah Jalaluddin, 32, walaupun penyertaan kali ini merupakan yang keenam tetapi persediaan yang dilakukan tetap sama iaitu memperbanyakkan latihan dari semua sudut.

"Persaingan kali ini sememangnya mencabar dan saya harap dapat membaca dengan baik di samping turut meletakkan harapan untuk kekal sebagai juara.

"Namun, saya berserah pada rezeki Allah SWT dan akan berusaha melakukan yang terbaik," katanya.
Rujukan-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140517/dn_12/Qariah-Selangor-lengkapkan-bacaan-30-peserta#ixzz31vVO8ntN

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment