Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my
PENYERANG Pahang, Dickson
Nwakaeme (tengah) dihalang oleh dua pertahanan Selangor, Mohd. Rizal Fahmi
(kanan) dan Stilianos Pantelidis (kiri) daripada membuat percubaan dalam
perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi. Selangor
menang 1-0. - MINGGUANMAHATHIR ALI
KUALA LUMPUR - Jaringan
penyerang dari Indonesia, Andik Vermansah pada minit ke-64 memusnahkan rekod
tanpa kalah Pahang di Stadium Darul Makmur, sekali gus membantu Selangor
merampas kedudukan teratas Liga Super daripada skuad Tok Gajah dengan
kemenangan 1-0 malam tadi.
Selangor, yang sebelum
perlawanan menghuni tempat kedua, hanya ketinggalan kepada Pahang
berdasarkan jumlah gol, kini mengumpul 31 mata manakala Pahang di anak tangga
kedua dengan 28 mata.
Biarpun mendominasi perlawanan
seawal perlawanan bermula, namun pasukan bimbingan jurulatih, Zainal Abidin
Hassan itu gagal memanfaatkan peluang untuk sekurang-kurangnya mendapat gol
penyamaan biarpun memiliki banyak peluang.
Selangor pula harus berterima
kasih kepada penjaring terbanyaknya, Paulo Rangel, yang walaupun tidak menemui
gawang namun masih mampu menyumbang gerakan untuk menghasilkan gol 19 minit
selepas babak kedua berlangsung.
Dikelilingi pertahanan lawan di
luar kotak penalti, penyerang dari Brazil itu menyepak leret kepada Andik yang
membuat larian untuk menewaskan pertahanan tuan rumah, disusuli dengan
rembatan yang menewaskan penjaga gol Pahang, Mohd. Nasril Nourdin yang
menggantikan Mohd. Khairul Azhan Khalid yang mengalami kecederaan.
Sementara itu di Stadium Shah
Alam, Kelantan menewaskan PKNS 2-0 hasil jaringan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria
pada minit ke-43 dan Francis Forkey Doe dua minit sebelum perlawanan tamat.
Keputusan perlawanan mungkin
berbeza jika penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat gagal menyelamatkan
sepakan penalti Karlo Primorac pada minit ke-38.
Pengadil perlawanan, Teo Hee
Lon memberikan sepakan penalti kepada PKNS selepas tonggak import mereka, Kim
Dong Chen dijatuhkan Zairul Fitree Ishak dalam kotak penalti.
Khairul Fahmi bagaimanapun
berjaya membaca gerakan sepakan penalti pemain dari Croatia itu untuk menepis
bola di kiri gawang.
Di Stadium Majlis Perbandaran
Selayang, Sime Darby meraih mata penuh apabila mengejutkan Sarawak menerusi
kemenangan 3-2, apabila pemain import mereka Dilshod Sharofetdinov menyumbang
dua gol pada minit ke-30 dan masa kecederaan separuh masa pertama.
Sarawak terlebih dahulu berada
di depan dengan memperoleh jaringan seawal minit kelapan melalui S. Chanturu
dan mereka menggandakan gol melalui pemain import Ryan Griffiths pada minit
ke-22.
Gol kemenangan Sime Darby hadir
enam minit sebelum perlawanan tamat menerusi jaringan Mohd. Syukur Saidin.
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140511/su_01/Selangor-rampas-takhta-liga#ixzz31MY3GTba
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment