Ad

Monday, 12 May 2014

'Jangan leka walau sesaat'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
SEGALA-GALANYA kini terletak di tangan skuad Gergasi Merah, Selangor jika berhasrat untuk mendakap trofi Liga Super musim ini.

Skuad kendalian Mehmet Durakovic kini kembali memintas kedudukan selaku pendahulu Liga Super dengan 31 mata hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas pencabar terdekat, Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin.

Jika berjaya memenangi kesemua baki tujuh perlawanan liga selepas ini, tidak ada lagi mana-mana pasukan yang mampu mengecewakan Gergasi Merah yang kali terakhir muncul juara Liga Super pada musim 2010.

Ini kerana selepas 15 perlawanan, skuad Pahang kini ketinggalan tiga mata di belakang Selangor manakala Terengganu pula mengekori rapat di tangga ketiga liga dengan 25 mata.

Namun kapten skuad Merah Kuning, Mohd. Bunyamin Omar enggan rakan-rakan sepasukannya terlalu selesa dengan kedudukan semasa di singgahsana liga ketika ini memandangkan apa jua kemungkinan boleh berlaku jika mereka tersilap langkah.

“Kami tidak lagi boleh leka walau sesaat jika mahu mendakap trofi Liga Super musim ini.

“Apa juga kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak jika kami terlalu awal memasang impian untuk muncul juara liga musim ini.

“Jadi, kami harus kekal fokus berdepan perlawanan demi perlawanan selepas ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Bunyamin memberitahu, setiap baki perlawanan wajib diibaratkan sebagai aksi final bermula ketika berdepan Sime Darby di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

“Saya harap ‘lautan Merah Kuning’ (penyokong) akan membanjiri stadium sekali gus menyemarakkan semangat juang kami dalam usaha membawa pulang tiga mata berharga dalam setiap baki perlawanan selepas ini.

“Saya juga gembira apabila kekal cergas dan tidak dibelenggu sebarang masalah kecederaan, jadi saya harap situasi positif ini kekal sehingga saingan musim ini berakhir,” jelas Bunyamin.

Untuk rekod, Selangor muncul naib juara Liga Super musim lalu dengan 40 mata, tiga mata di belakang Lions XII yang muncul juara.

Meskipun sekali lagi layak ke saingan Piala AFC musim ini, cabaran Selangor sekadar terkandas di peringkat kumpulan selain turut ditunjukkan jalan keluar oleh Sarawak pada pusingan kedua kempen Piala FA.

Rujukan- http://www.kosmo.com.my/kosmo.

No comments:

Post a Comment