MENARA sebuah masjid tumbang
selepas dibedil tentera Israel di Gaza City, semalam. - AFP
GAZA 30 Julai - Serangan udara
tentera Israel di seluruh Genting Gaza yang masuk hari ke-24 hari ini,
mengakibatkan lagi 44 kematian termasuk 19 mangsa di sebuah sekolah Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjadi tempat perlindungan orang awam
Palestin.
Seorang pegawai PBB yang enggan
dikenali mengesahkan serangan itu yang mengenai sebuah bilik air dan dua kelas
di sekolah berkenaan yang terletak di kem pelarian Jabaliya di utara Gaza.
Selain itu, agensi berita
Anadolu melaporkan, tentera Israel turut mengebom lima buah masjid dalam tempoh
24 jam di Gaza dengan alasan memusnahkan senjata dan terowong pejuang Hamas.
Minggu lalu, rejim Zionis
membedil empat pusat perlindungan PBB, mengakibatkan lebih 20 orang terbunuh
dan berpuluh-puluh lagi cedera.
Jurucakap agensi kecemasan,
Ashraf al-Qudra berkata, serangan kereta kebal di sebuah rumah di Tuffah, timur
laut wilayah itu, mengakibatkan enam sekeluarga terbunuh, termasuk tiga
kanak-kanak.
Jelasnya, kematian terbaharu
itu menjadikan angka korban akibat kekejaman Israel meningkat kepada lebih
1,300 orang dan lebih 7,170 lagi cedera.
Sementara itu, Perdana Menteri
Israel, Benjamin Netanyahu mula goyah untuk meneruskan operasi ketenteraan di
Gaza apabila beliau meminta pertolongan Amerika Syarikat (AS) untuk mengadakan
gencatan senjata dengan pergerakan Hamas.
Setiausaha Negara AS, John
Kerry berkata, permintaan itu dibuat malam semalam apabila Netanyahu
menimbulkan persoalan untuk mengadakan gencatan senjata, sekali gus mengakhiri
konflik di Gaza.
"Netanyahu sedia menerima
gencatan senjata untuk membolehkan Israel dilindungi daripada serangan Hamas
dan beliau sedar operasi ketenteraan di Gaza tidak memberi kelebihan
kepadanya," katanya.
Sebanyak 56 kematian dicatatkan
di pihak Israel, 53 daripadanya anggota tentera, sejak krisis di wilayah
Palestin itu tercetus.
Namun, jumlah itu dipercayai
lebih tinggi dan tidak dilaporkan media pro-Israel.
Dalam pada itu, agensi berita,
PressTV melaporkan, komander kumpulan sayap bersenjata pergerakan Hamas, Briged
al-Qassam, Mohammad Deif menolak gencatan senjata dengan Israel melainkan
sekatan yang dikenakan ke atas Gaza sejak tujuh tahun lalu ditarik balik.
SUMBER-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140731/lu_01/Israel-bom-kem-pelarian-PBB#ixzz38zzANVt7
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment