Ad

Wednesday, 23 July 2014

Harimau idam Piala AFF

Oleh Syed Riduan Ahmad | smriduan@bh.com.my 

Kuala Lumpur: Perlawanan persahabatan menentang Tajikistan di Stadium Central, Dushanbe 8 Ogos ini adalah aksi pertama skuad kebangsaan selepas perlawanan terakhir di Cebu, Filipina pada 27 April lalu.

Dalam tempoh tujuh bulan, skuad negara hanya mempunyai satu perlawanan kompetitif - kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Yaman - dan dua perlawanan persahabatan, kedua-duanya bertemu Filipina.


Berdasarkan kekerapan itu, ternyata Malaysia seperti tidak mempunyai tugasan penting tahun ini tetapi hakikatnya Piala Suzuki AFF yang menjadi kebanggaan negara dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) empat tahun lalu, menanti November ini.

Peminat bola sepak tempatan hanya menantikan apa yang mampu dilakukan Presiden baharu FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam memartabatkan kembali sukan itu, dan prestasi pasukan kebangsaan antara perkara pertama yang akan menjadi kayu ukur kepada perubahan dijanjikan badan induk bola sepak negara itu.

Walaupun hanya perlawanan persahabatan, pertemuan dengan Tajikistan akan menentukan hala tuju skuad kebangsaan yang kini dikendali Dollah Salleh - jurulatih tempatan yang dikatakan mempunyai sentuhan emas dengan pasukan-pasukan Liga Malaysia.

Tempoh persediaan singkat bakal mencabar keupayaan Dollah yang perlu mengembalikan kepercayaan peminat terhadap Harimau Malaya dan FAM, namun pengurusan badan induk itu menaruh penuh keyakinan terhadap kemampuan Dollah.

Tidak banyak beza

“Secara peribadi saya yakin sekurang-kurangnya kita akan ke final Piala Suzuki AFF,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga penolong pengurus pasukan kebangsaan.

Keyakinan itu mungkin tidak dirasai sebahagian besar peminat bola sepak tempatan memandangkan rata-rata pemain yang dipanggil Dollah tidak banyak bezanya dengan skuad sebelum ini yang gagal mempertahan kejuaraan dua tahun lalu.

Namun Dollah mempunyai perancangan tersendiri untuk mengembalikan kegemilangan barisan pemain yang pernah mengharumkan nama negara dengan menjuarai Piala Suzuki AFF buat pertama kali pada 2010.

Bagaimanapun kekuatan sebenar skuad negara terletak di tangan pemain sendiri, antaranya Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali, Mahalli Jasuli, Amri Yahyah, Fahdli Shas dan Khairul Fahmi Che Mat (Apek) yang menjadi teras kepada pasukan sejak beberapa tahun lalu.

Selepas menentang Tajikistan, Dollah dijangka akan memanggil beberapa pemain lagi termasuk pemain-pemain bawah 23 selepas mereka menamatkan saingan Piala Asia di Incheon, Korea Selatan September nanti.

SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE 24.7.14

No comments:

Post a Comment