Pakar percaya lubang-lubang
kecil dan satu lubang besar di tengah pada serpihan pesawat MH17 yang disiarkan
akhbar Financial Times ini adalah kesan tembakan peluru berpandu
LONDON 22 Julai - Pakar
ketenteraan mengesahkan bahawa pesawat Malaysia Airlines, MH17 ditembak jatuh
oleh peluru berpandu selepas mengkaji imej serpihan pesawat tersebut.
Akhbar Financial Times memetik
analisis pertahanan melaporkan, pihaknya mempunyai bukti kukuh untuk
mengesahkan bahawa pesawat tersebut ditembak jatuh oleh peluru berpandu.
Pengesahan itu dibuat
berdasarkan imej serpihan pesawat yang terbakar dan dipenuhi dengan
lubang-lubang kecil berserta lubang besar di bahagian tengah.
Dua penganalisis pertahanan dan
seorang bekas juruterbang tentera turut bersetuju imej serpihan tersebut yang
dipercayai dari bahagian kiri pesawat berkenaan menunjukkan peluru berpandu
dilepaskan ke arah kiri dan juga di bahagian depan.
Mereka mendakwa imej lubang besar
tersebut disebabkan oleh letupan dari dalam pesawat ketika ia terbang pada
ketinggian 10,000 meter di udara.
Penganalisis dari Institut
Pengajian Antarabangsa London, Doughlas Barrie berkata, kerosakan pada pesawat
tersebut jelas menunjukkan kesan 'letupan peledak berkuasa tinggi'.
"Kesan itu boleh diperoleh
daripada penggunaan senjata yang dilancarkan menerusi pelancar peluru berpandu
seperti yang dikesan memasuki Ukraine beberapa jam sebelum nahas berlaku,"
katanya.
Seorang lagi penganalisis, Justin
Bronk dari Institut Perkhidmatan Kesatuan Diraja turut menyatakan bahawa MH17
ditembak oleh peluru berpandu darat ke udara (SAM) yang dilepaskan daripada
pelancar BUK.
"Kesan lubang yang
terdapat pada serpihan MH17 konsisten dengan kesan tembakan SAM. Bagaimanapun,
sukar untuk meneliti dan mengenal pasti kesemua paten letupan berdasarkan
serpihan yang kecil," ujarnya.
Seorang pesara juruterbang
tentera yang enggan dikenali menjelaskan bahawa kerosakan pada MH17 sama
seperti kerosakan akibat diserang roket.
Peluru berpandu antipesawat
direka untuk meletup berhampiran pesawat, menyebabkan pembentukan serpihan
panas yang banyak sekali gus memusnahkan badan pesawat. - AGENSI
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140723/dn_04/Disahkan-terkena-peluru-berpandu#ixzz38JTHwyXk
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment