Ad

Wednesday, 23 July 2014

Misi tebus kekecewaan di Delhi

 Oleh FADHILUL IZMEL ISHAK
sukan@utusan.com.my
 
PASUKAN boling padang negara bergambar bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (depan, lima dari kiri) di Perkampungan Atlet Sukan Komanwel di Glasgow semalam.
KUALA LUMPUR - Selepas gagal membawa pulang pingat emas pada Sukan Komanwel di New Delhi empat tahun lalu, skuad boling padang negara memasang impian untuk menebus kekecewaan mereka itu di Glasgow.

Skuad boling padang wanita yang diketuai Nor Hashimah Ismail optimis misi itu mampu direalisasikan di Glasgow berikutan prestasi pasukan negara kini di tahap yang menyakinkan.

"Berdasarkan prestasi dan sesi latihan yang dilakukan saya yakin pasukan negara mampu memperolehi pingat emas. Ini merupakan kali kelima saya menyertai Sukan Komanwel dan sudah pasti saya akan menggunakan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki untuk memastikan emas menjadi milik negara.

"Empat tahun lalu kami tewas di tangan England dalam acara beregu wanita jadi tahun ini kami akan menggunakan keringat kami sepenuhnya bagi memastikan emas menjadi milik negara. Kami akan memberi fokus kepada pihak lawan terutamanya Australia, Scotland dan Afrika Selatan yang merupakan saingan kuat kami," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Skuad boling padang telah menjadi sandaran kontinjen negara untuk menuai emas di Sukan Komanwel setiap kali temasya itu berlangsung. Bagaimanapun untuk edisi kali ini Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) hanya mensasarkan sebutir emas berikutan prestasi mereka dalam temasya 2010 di New Delhi.

Nor Hashimah, 43, pernah memenangi acara bertiga dalam Sukan Komanwel Melbourne 2006 nyata gembira apabila pada tahun ini dia menyertai acara beregu dan berempat, sekali gus memberi kelebihan untuk menambah koleksi pingat.

"Pada edisi kali ini kami berasa bertuah kerana setiap pemain diberi peluang untuk beraksi dalam dua acara, jadi kami lebih bersemangat untuk menambah bilangan pingat dan sudah pasti emas menjadi sasaran kami,"ujar Nor Hashimah lagi, yang perak bersama Zuraini Khalid empat tahun lalu.

Bagi acara beregu wakil negara diletakkan di Seksyen A dan akan bertemu Papua New Guinea pada Isnin depan, Ireland Utara pada hari berikutnya, Niue Island dan Australia pada 30 Julai.

Dalam acara berempat Malaysia ditempatkan di Seksyen B akan memulakan cabaran dengan bertemu Niue Island pada Isnin depan, diikuti India dan Ireland Utara pada 25 Julai serta Fiji sehari kemudian.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140724/su_02/Misi-tebus-kekecewaan-di-Delhi#ixzz38KmQeY3k © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment