Ad

Saturday 26 July 2014

Hoki: Skuad wanita tewas tapi pamer peningkatan

 
PEMAIN negara, Hasliza Ali (kanan) berjaya mengawal kemaraan pemain Scotland, Nikki Kidd (kiri) pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan B di Sukan Komanwel semalam. Malaysia tewas 0-2 pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Hoki Nasional Scotland itu.

GLASGOW - Tewas 0-2 kepada Scotland pada aksi kedua peringkat Kumpulan B di Stadium Hoki Nasional Glasgow bukanlah penamat buat skuad hoki wanita negara di Sukan Komanwel 2014.

Demikian respons ketua jurulatih, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim yang menjelaskan bahawa skuad kendaliannya semakin mempamerkan peningkatan meskipun mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas 0-4 kepada Australia pada aksi pembukaan dua hari lalu.

Jelas Nasihin, beliau percaya pasukan bimbingannya masih memerlukan masa untuk membentuk satu skuad mantap bagi membolehkan mereka memberi saingan kepada pasukan-pasukan gergasi Eropah lain.

Tambahnya lagi, Scotland hampir tertekan ketika menentang anak-anak buahnya sebelum pasukan tuan rumah berjaya merakamkan kemenangan menerusi dua jaringan Ailsa Wyllie.

"Kita harus sedar bahawa Scotland menduduki ranking (ke-16) yang lebih baik berbanding kita tetapi kami tidak bermain secara bertahan. Sebaliknya, kami mempamerkan permainan secara terbuka.

"Beraksi menentang pasukan tuan rumah bukanlah satu tugas yang mudah. Tekanan lebih tinggi tetapi kami berjaya mengekang mereka sebelum Scotland berjaya mendapatkan gol pertama pada babak pertama perlawanan.

"Ini membuktikan prestasi anak-anak buah saya semakin meningkat. Untuk menjadi sehebat mereka, kita perlukan satu tempoh yang panjang dan perancangan teliti.

"Merujuk kepada Belgium, dulu mereka sekadar pasukan belasahan sahaja tetapi kini, mereka digeruni lawan.

"Saya percaya jika kami diberikan masa empat tahun, kami mungkin mampu bersaing dengan pasukan-pasukan Eropah dan perancangan serta program lebih teliti harus dibuat dalam tempoh tersebut," katanya.

Dalam perkembangan sama, Nasihin juga percaya pengalaman yang diraih oleh pasukan bimbingannya bakal dimanfaat sepenuhnya sebelum mengharungi Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September depan.

"Kita perlu belajar daripada kekalahan. Saya percaya mereka akan menggunakan kesempatan ini untuk beraksi di pentas Sukan Asia nanti.

"Kami mahu lebih bersedia dan saya yakin beraksi di Sukan Komanwel adalah persiapan terbaik buat skuad hoki wanita sebelum berlepas ke Korea Selatan nanti," katanya.

Sumber-KOSMO ONLINE 27.7.14

No comments:

Post a Comment