NUR AYUNI kini boleh memberikan
tumpuan sepenuhnya dalam misi memburu pingat emas pada Sukan Komanwel 2014 di
Glasgow.
GLASGOW - Menteri Belia dan
Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap penembak negara, Nur Ayuni Farhana
Abdul Halim dapat memberikan fokus selepas dibenarkan menyertai acara 10 meter
(m) air rifle dan 50m rifle prone.
Sebelum ini, Nur Ayuni terpaksa
menarik diri selepas kehilangan jaket khas yang sepatutnya digunakan ketika
dalam perjalanan ke Scotland, Rabu lalu.
Kehilangan jaket itu
menyebabkan Nur Ayuni terpaksa disingkirkan daripada temasya Komanwel kali ini
kerana jaket khas itu adalah menjadi syarat wajib dalam mana-mana acara
menembak.
Namun, Nur Ayuni dibenarkan
kembali menyertai acara tersebut selepas jaket itu ditemui dan Majlis Olimpik
Malaysia (MOM) telah mengemukakan rayuan kepada pengarah pertandingan acara
menembak.
"Ini adalah satu perkhabaran
gembira buat kontinjen negara dan saya berharap Nur Ayuni dapat mengekalkan
fokus untuk acaranya.
"Kehilangan peralatan
menembaknya sedikit sebanyak menjejaskan perhatiannya tetapi saya percaya, Nur
Ayuni dalam mempamerkan prestasi terbaik dalam usaha membantu skuad negara
meraih pingat nanti," kata Khairy kepada pemberita semalam.
Dalam perkembangan sama,
pengurus pasukan menembak negara, Datuk Musa Omar mengakui, beliau boleh
menarik nafas lega selepas Nur Ayuni dibenarkan kembali beraksi.
"Sebenarnya, MOM telah
mengemukakan rayuan dan rayuan itu sebenarnya ditolak oleh pengarah
pertandingan acara menembak Sukan Komanwel Glasgow 2014.
"Begitupun, kami tidak
berputus asa untuk mengusahakan Nur Ayuni kembali beraksi selepas dia
mendapatkan kembali jaket menembaknya.
"Berita gembira itu
diterima pagi semalam (kelmarin) yang mana Nur Ayuni telah dibenarkan kembali
beraksi oleh pengarah berkenaan dan saya berharap dia dapat mengekalkan
fokusnya selepas mengharungi apa yang berlaku," katanya.
SUMBER-KOSMO ONLINE 25.7.14
No comments:
Post a Comment