Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Biarlah apa
orang kata mengenai pencapaian musim ini bersama pasukan Perlis, Mohd. Reduan
Abdullah ternyata tidak mahu ambil tahu sambil menyatakan Dollah Salleh pasti
ada sebab tersendiri melantiknya sebagai penolong jurulatih satu di dalam
pasukan Harimau Malaya.
Enggan melayan kata-kata
sumbang terutama peminat Perlis selepas melihat Singa Utara tersembam ke Liga
FAM pada musim hadapan ekoran menamatkan cabaran di tangga kedua tercorot Liga
Perdana, Reduan melihat itu sebagai satu cabaran membuktikan maruah yang
tercalar.
Malah, beliau berpendapat
sebagai satu pertimbangan yang tidak bijak menjadikan pencapaian bersama Perlis
sebagai satu-satunya asas untuk terus menganggap dia tidak layak dilantik
sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya.
"Jangan pertikaikan
pelantikan saya, keputusan ini dibuat oleh Dollah Salleh dan sudah tentu dia
mempunyai sebab tersendiri untuk memberi kepercayaan kepada saya.
"Tidak perlu dijadikan
pencapaian saya membimbing pasukan Perlis sebagai sandaran tunggal dalam
menilai siapa saya.
"Semua orang perlu
realistik dan bersikap adil tentang barisan pemain yang saya ada di sana
sebelum mahu membuat penilaian, jangan lupa mengenai pencapaian saya semasa
membimbing pasukan-pasukan lain sebelum ini.
"Bagi saya, ini satu
cabaran tersendiri membuktikan sesuatu dan mahu membuka buku baru bersama
pasukan kebangsaan, cukuplah kalau ada orang lagi mengenai Perlis, saya tidak
mahu komen apa-apa lagi, " katanya ketika dihubungi, semalam.
Melalui kenyataan media yang
dihantar FAM, Reduan dilantik sebagai penolong jurulatih bersama Wan Mustaffa
Wan Ismail, manakala bekas penjaga gol kebangsaan dan Johor, Omar Salim selaku
jurulatih penjaga gol.
Perlis pada musim ini sekadar
mengutip dua kemenangan daripada 22 perlawanan untuk mengiringi PBAPP FC
bermain di Liga FAM pada musim 2015.
Namun, Reduan dilihat berdepan
banyak masalah dalam menyediakan sebuah skuad yang mantap.
Hanya mempunyai beberapa pemain
berpengalaman seperti Mohd. Khairi Zainuddin, Muhd. Hardi Ahmad dan Norismaidham
Ismail dengan selebihnya merupakan pemain muda serta mentah pengalaman,
kedudukan Perlis berada dalam saingan Liga Perdana sememangnya sudah dijangka.
Sebelum ini, Reduan mempunyai
beberapa pencapaian baik dengan membawa MPPJ FC muncul juara Piala FAM pada
2001 serta Liga Perdana II, 2002 dan membantu Felda United menjuarai Liga FAM
pada 2008.
Beliau juga merupakan antara
beberapa jurulatih di negara ini yang mempunyai sijil Pro-Lesen dari
Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA) malah pernah berguru bersama Louis van
Gaal dan Gerard Houllier.
Dalam masa sama, Reduan
berkata, jarak usianya yang lebih tua 10 tahun berbanding Dollah tidak
menghalang untuk beliau bekerjasama dalam pasukan Harimau Malaya.
"Saya dan Dollah cukup
rapat pada walaupun mungkin kami tidak pernah bekerjasama dalam satu pasukan
namun saya cukup senang dengan caranya.
"Apa-apapun, saya mahu
mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh Presiden FAM
(Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) dan Dollah terhadap keupayaan saya,"
katanya yang mengakui masih terkejut dengan pelantikan berkenaan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140722/su_03/Dollah-lebih-tahu#ixzz388jeynhU
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment