GLASGOW - Banyak yang perlu
dijawab dan dijelaskan oleh Muhammad Dharma Raj Abdullah dengan prestasi
anak-anak buahnya yang dimalukan atas kekalahan 4-2 kepada pasukan tidak
ternama, Trinadad & Tobago dalam aksi hoki lelaki Kumpulan B Sukan Komanwel
XX semalam.
Ibarat jatuh ditimpa tangga
kerana sebelum ini pasukan bimbingannya gagal mencatat sebarang kemenangan
untuk merealisasikan sasaran menduduki kelompok 10 terbaik dalam kejohanan
Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda pada Jun lalu, apa lagi penjelasan yang
boleh diberikan oleh Muhammad Dharma untuk kegagalan kali ini.
Aksi skuad negara jelas tidak
bermaya apabila ketinggalan tiga gol ketika permainan babak pertama baru
berlangsung separuh jalan menerusi Mickell Pierre pada minit kelapan dan dua
pukulan penalti sudut Kwandwane Browne, masing-masing pada minit ke-11 dan 15.
Malaysia cuba bangkit apabila
merapatkan jurang gol menerusi pukulan jauh Norhizzat Sumantri pada minit ke-24
tetapi permainan longgar di setiap posisi menyaksikan skuad negara kembali
ketinggalan dengan defisit tiga gol.
Browne begitu tajam dalam
melakukan pukulan penalti sudut apabila penyerang berusia 36 tahun itu gol
sekali lagi menyempurnakannya pada minit terakhir babak pertama untuk Trinadad
& Tobago mendahului 4-2.
Harapan untuk menyaksikan
Malaysia bangkit pada babak kedua tidak kesampaian apabila serangan skuad
negara mudah dipatahkan sementara pasukan lawan pula hanya perlu bertahan
sambil sesekali mencemaskan kubu anak-anak buah Muhammad Dharma.
Skuad negara bagaimanapun
berjaya menjaringkan gol kedua menerusi Muhamad Ramadan Rosli tetapi sudah
terlambat untuk mengejar.
Skuad negara membuka kempen
Sukan Komanwel dengan langkah kanan apabila mengalahkan Kanada 2-0 dalam
perlawanan pembukaan Kumpulan B sebelum dibelasah 8-1 oleh England.
Sementara itu New Zealand
menundukkan England 2-1 untuk menduduki tempat teratas Kumpulan B dengan
sembilan mata dan skuad Kiwi itu akan bertemu Malaysia dalam perlawanan
terakhir peringkat awal esok.
Secara matematiknya, skuad
kendalian Muhammad Dharmaa Raj yang memperoleh tiga mata boleh dikatakan sudah
terkeluar daripada persaingan untuk ke peringkat kalah mati kerana Kanada
mengumpul enam mata bersama-sama pasukan yang dikalahkannya semalam, England.
Jurang perbezaan gol antara
skuad negara dengan dua pasukan itu juga terlalu jauh.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140730/su_03/Apa-sudah-jadi-Skuad-hoki-negara-dimalukan-Trinidad-Tobago-4-2#ixzz38uEf0jSp
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment