AWANG menunjukkan ke arah
sebatang sungai yang menjadi tempat persembunyiannya bersama dua
adik-beradiknya ketika serangan pengganas komunis di Gua Musang.
DISEMBELIH hidup-hidup,
ditembak berkali-kali , ditikam tanpa belas kasihan dan diperlakukan seperti
haiwan. Itu merupakan antara bentuk kezaliman yang dilakukan komunis ketika
bermaharajalela di Tanah Melayu pada zaman darurat.
Tidak cukup dengan penderitaan
yang dialami, batang tubuh yang tidak berdaya untuk bergerak malah sudah tidak
bernafas sekalipun dibakar dan dihumban sesuka hati.
Perbuatan kejam dan tidak
berperikemanusian Parti Komunis Malaya (PKM) itu sudah cukup membuatkan rakyat
ketika itu berasa gusar, tidak tenteram dan sentiasa hidup dalam ketakutan.
Ditambah lagi serangan komunis
tidak mengenal dan mengira siapa. Bermula usia kanak-kanak sehingga golongan
tua, sesiapapun berisiko menjadi mangsa sekiranya bertembung dengan pengganas
tersebut.
Malah, wanita yang sarat
mengandung juga tidak terlepas daripada menjadi sasaran bedilan peluru komunis.
Melalui pengalaman diserang
komunis, Awang Awang Mohamed, 76, menceritakan detik-detik cemas ketika Gua
Musang dikepung PKM yang juga dikenali Bintang Tiga.
Semasa kejadian dia dan dua
adik-beradiknya dalam perjalanan menuju ke sungai untuk membuang air.
"Namun, situasi bertukar
menjadi kelam kabut tatkala mendengar beberapa das tembakan dilepaskan dan
jeritan penduduk yang bertempiaran lari menyelamatkan diri.
"Kami adik beradik lantas
terjun ke dalam sungai dan bersembunyi di sebalik pokok bagi mengelak dikesan
oleh komunis," katanya yang terselamat daripada menjadi mangsa tawanan
komunis.
Ramai yang menjadi korban
ketika itu bukan saja dalam kalangan penduduk malah polis yang bertugas,
termasuk anak isteri dibunuh tanpa belas kasihan.
"Individu yang disyaki
menjadi tali barut tentera Jepun turut dibunuh malah jika ada penduduk tempatan
yang sebelum ini pernah berselisih faham dengan mereka juga menjadi mangsa,"
katanya.
Paling menghayat hati apabila
seorang lelaki warga emas ditangkap dan diseksa di hadapan ramai penduduk
kampung.
Dia bukan sahaja ditembak
bertalu-talu malah ditikam beberapa kali. Namun, sangat menakjubkan apabila dia
masih lagi bernyawa menyebabkan kumpulan komunis itu bertambah berang.
"Bermacam-macam cara
dilakukan bagi membunuh lelaki tua tersebut sehinggalah mereka terpaksa
menembak dari arah duburnya barulah dia meninggal dunia ketika dalam keadaan
bersujud," katanya.
Nyawa penduduk bagai di hujung
tanduk berikutan tindakan komunis yang sering menembak mangsa secara rambang.
"Jika penduduk ingkar
terhadap arahan komunis, tembakan demi tembakan terus dilepaskan tanpa ada
perasaan simpati. Malah, seorang bapa yang ingin menyelamatkan anaknya daripada
terus diseksa turut dibunuh," ujarnya.
Selain itu, komunis juga sering
merampas harta benda di samping memeras ugut penduduk bagi mendapatkan wang dan
makanan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140726/re_06/Penduduk-menderita-angkara-komunis#ixzz38uimtl9H
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment