Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my
SULTAN Sharafuddin Idris Shah
ketika bertitah dalam Majlis Perasmian Masjid Pekan Sepang, Selangor, semalam.
- Utusan/RASHID MAHFOF
SEPANG 15 Julai - Sultan
Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini amat kesal dan kecewa dengan
kenyataan tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen Pas, Khalid Samad yang
mencadangkan kerajaan Selangor menghapuskan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam
Selangor (MAIS).
Menurut baginda, tindakan
Khalid mempersoalkan kuasa MAIS itu seolah-olah menunjukkan sikap biadab dan
penentangannya kepada kuasa baginda sebagai ketua agama Islam yang mendapat
nasihat daripada pihak MAIS berkenaan agama Islam seperti mana termaktub di
bawah undang-undang.
Baginda bertitah, ini bukan
kali pertama Khalid mempersoalkan isu berkaitan kuasa eksekutif MAIS serta
Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang dianggapnya sudah lapuk.
"Kenyataan Khalid itu
ternyata menunjukkan beliau jahil tentang peranan MAIS yang diwujudkan oleh
Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat dan membantu beta dalam
menjalankan kuasa beta sebagai ketua agama Islam di Selangor," titah
baginda lagi.
Baginda bertitah demikian pada
Majlis Perasmian Masjid Pekan Sepang, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Pada 17 Jun lalu, Khalid dan
beberapa pemimpin Pas Selangor mendesak MAIS tidak lagi diberi kuasa dalam
menjaga kedaulatan agama Islam di negeri itu dengan meminda enakmen yang selama
ini memberi tanggungjawab kepada badan agama berkenaan.
Khalid berkata, kajian semula
enakmen itu adalah perlu berikutan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
yang menjatuhkan imej Islam apabila merampas 300 Bible milik Persatuan Bible
Malaysia (BSM) pada Januari lalu.
Dalam titah ucapannya, Sultan
Selangor turut meminta Khalid pada masa depan supaya lebih berwaspada di dalam
mengeluarkan kenyataan dan jangan menunjukkan sikap biadab serta jahil apabila
membicarakan isu berkaitan kuasa baginda selain peranan MAIS dalam
menasihatkannya mengenai agama Islam.
"Khalid yang bukannya anak
jati Selangor, namun berpeluang menjadi Ahli Parlimen di Selangor sepatutnya
mengambil langkah untuk melengkapkan diri memahami sejarah negeri Selangor.
"(Dan) mendalami
undang-undang yang terpakai di Negeri Selangor terutama Undang-Undang Tubuh
Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor," titah
baginda.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin
dalam titahnya melahirkan rasa dukacita kerana terdapat dalam kalangan ahli
politik dan golongan cerdik pandai beragama Islam sendiri tidak melindungi
kesucian agama Islam daripada dipermainkan oleh pihak tertentu.
"Sebaliknya mereka lebih
mengutamakan agenda politik dan peribadi mereka dengan mengelirukan masyarakat.
"Ada dalam kalangan mereka
ini berani mempersoalkan kuasa institusi agama Islam seperti MAIS yang selama
ini berperanan memastikan kesucian agama Islam dan urus tadbir hal ehwal agama
Islam di Selangor ini," titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Selangor
menegaskan MAIS sentiasa menjamin hak dan kebebasan penganut agama lain dalam
mengamalkan ajaran mereka.
Titah baginda, MAIS sentiasa
menghormati orang bukan Islam di dalam amalan agama mereka seperti yang telah
diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Segala tindakan yang
dilakukan oleh MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah bagi
memelihara kesucian agama Islam tanpa mengganggu penganut agama lain,"
titah baginda.
Sultan Selangor sekali lagi
mengingatkan kepada semua pihak supaya tidak menjadikan agama Islam sebagai
modal politik.
"Kesucian agama Islam
perlu sentiasa dipelihara. Sebagai orang politik seharusnya mereka lebih
bertanggungjawab di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan bagi memastikan
kesucian agama Islam dan perpaduan umat Islam di negara ini sentiasa
terpelihara," titah baginda.
Selain itu, baginda turut
mengingatkan supaya tidak menjadikan masjid sebagai gelanggang untuk berpolitik
dan juga tempatan mengadakan demonstrasi yang negatif baik di dalam mahupun di
pekarangan masjid.
"Masjid dan surau adalah
tempat umat Islam dan orang Melayu beribadat serta bertemu bagi mengeratkan
silaturahim antara orang Melayu umat Islam," titah Sultan Sharafuddin.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140716/dn_01/Sultan-Sharafuddin-murka#ixzz37ZkyTdsJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment