Ad

Sunday 27 July 2014

Malaysia cemas sebelum mara

GLASGOW - Malaysia resah seketika sebelum menewaskan pasukan tuan rumah, Scotland untuk ke separuh akhir acara badminton berpasukan Sukan Komanwel XX semalam untuk bertemu Singapura.

Beregu campuran Chan Peng Soon dan Lai Pei Jing memberikan tuan rumah mata pertama apabila mereka tewas kepada Robert Blair -Imogen Bankier 24-22, 9-21, 11-21 dalam perlawanan 64 minit.

Bagaimanapun, Malaysia yang hadir tanpa jaguh No. 1 dunia, Lee Chong Wei berjaya meneruskan kemaraan apabila mengutip tiga mata selepas itu meskipun berdepan dengan sorakan bingit penyokong tuan rumah.

Chong Wei Feng dengan mudah mengalahkan Kieran Merrilees 21-16, 21-14 dalam acara perseorangan lelaki dan kemudian menyaksikan Tee Jing Yi meletakkan Malaysia di depan dengan 2-1 selepas menjinakkan cabaran bersemangat Kirsty Gilmour 21-10, 21-15 dalam perseorangan wanita.

Skuad negara mengesahkan kemaraan ke separuh akhir acara berpasukan campuran itu selepas beregu lelaki Tan Wee Kiong dan Goh V Shem mengutip mata ketiga hasil kemenangan 21-12, 21-15 ke atas Martin Campbell-Patrick MacHugh.

Menurut Wei Feng, dia agak tertekan apabila terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai perseorangan utama kerana ketiadaan Chong Wei.

"Tidak. Tidak begitu. Tarafnya (Chong Wei) mengatasi pemain yang lain. Perlawanan tadi juga bukan mudah. Terdapat banyak tekanan terhadap saya untuk memberi kejayaan kepada Malaysia.

"Suasana bingit (soarakan penonton) juga tidak bagus untuk kami, tetapi kami perlu membiasakan diri dengan keadaan itu. Kami dijangka untuk menang hari ini (Jumaat waktu Scotland), tetapi Scotland telah memberi tentangan hebat. Kami agak terkejut dengan mereka, terutama dalam acara beregu campuran," katanya.

Sementara itu, Singapura menempah pertemuan dengan Malaysia selepas menewaskan Australia 3-0. (Peringkat separuh akhir berlangsung awal pagi tadi waktu Malaysia.)

Pasukan pilihan kedua, England berjaya melangkah ke separuh akhir apabila menang mudah 3-0 terhadap Sri Lanka dan akan menentang naib juara empat tahun lalu, India yang mara selepas menundukkan Kanada 3-1. - AFP

Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140728/su_03/Malaysia-cemas-sebelum-mara#ixzz38iHXkfhH © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment