Ad

Tuesday 22 July 2014

PDRM tetap ada kelebihan - Muslim

 
ASHFAQ Ali (kanan) antara pemain yang perlu diawasi dalam skuad PDRM.

KAPTEN skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd. Muslim Ahmad tetap yakin dengan kemampuan pasukan mereka menjelang kempen Piala Malaysia 2014 yang akan bermula bulan depan.

PDRM diundi dalam Kumpulan D bersama Selangor, Sime Darby dan T-Team.

Muslim mengakui tiga pencabar mereka dalam kumpulan tersebut tidak begitu mengetahui gaya permainan sebenar Sang Saka Biru yang merupakan wakil tunggal daripada Liga Premier dalam saingan Kumpulan D.

"Selangor perlu diberikan tumpuan lebih dalam kumpulan ini tetapi sejujurnya, semua pasukan memiliki kelebihan tersendiri.

"Mungkin kelebihan kami kerana PDRM beraksi dalam Liga Premier dan yang lain semuanya daripada Liga Super. Jadi mereka tidak begitu arif dan mengenali cara permainan kami.

"Ia boleh menjadi kelemahan kepada kami kerana secara tidak langsung kami juga tidak mengetahui cara mereka tetapi tidak mustahil PDRM mampu melangkah jauh dalam kempen Piala Malaysia," katanya kepada Kosmo! semalam.

Bekas pemain pertahanan Johor Darul Takzim (Johor DT) itu tetap menghormati ketiga-tiga pasukan daripada Liga Super itu kerana baginya, setiap pasukan berpeluang melakar kejutan.

Muslim juga yakin rakan sepasukannya yang lain tetap bersemangat untuk melakukan yang terbaik pada kempen kali ini biarpun PDRM kini sudah tidak dikendalikan oleh Dollah Salleh yang dilantik sebagai pengendali baharu Harimau Malaya.

"Bagi saya tiada pasukan pilihan dalam Kumpulan D sebab semua pasukan memiliki kekuatan seimbang.

"Jadi apa yang penting kami perlu menghormati semua pasukan dan jangan sesekali ambil mudah setiap cabaran pihak lawan.

"Sebagai pemain kami akan melakukan yang terbaik dan mengikut setiap peraturan dan perancangan yang ditetapkan bagi memastikan PDRM meraih kejayaan," jelasnya.

Sang Saka Biru akan mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang Pahang hari ini dan Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Jumaat sebelum memulakan kempen Piala Malaysia pada 13 Ogos nanti.

SUMBER-KOSMO ONLINE 22.7.14

No comments:

Post a Comment