Ad

Wednesday, 23 July 2014

Cabaran Nur Ayuni berakhir sebelum mula menembak

 
NUR Ayuni Farhana
GLASGOW - Nur Ayuni Farhana Abdul Halim datang ke sini dengan semangat berkobar-kobar tetapi kini berputih mata setelah disingkirkan daripada acara menembak selepas jaket pertandingannya hilang semasa dalam perjalanan ke sini.

Nur Ayuni memenangi pingat emas bersama Nur Suryani Taibi dalam acara air rifle 10 meter berpasangan di New Delhi empat tahun lalu turut mengambil acara itu pada edisi kali ini, selain rifle prone 50 meter.

Pengurus pasukan, Musa Omar berkata, penembak itu tidak mempunyai pilihan selain daripada menarik diri selepas bagasinya hilang dan dipercayai berada di London. Bagaimanapun bagasinya gagal dijumpai sehingga hari pendaftaran peserta semalam manakala pertandingan akan bermula esok.

"Dia merupakan pemenang pingat emas pada edisi lalu dan sekarang dia tidak berkesempatan untuk bertanding. Ini sudah pasti merungsingkannya dan saya berasa simpati terhadap Nur Ayuni," kata Musa kepada media Malaysia semalam.

"Kami sudah membuat laporan mengenai kehilangan bagasinya. Kami menanti selama tiga hari dan hari ini (semalam) merupakan hari terakhir untuk membuat pengesahan nama peserta.

"Peraturan pertandingan jelas menyatakan penembak rifle perlu memakai jaket.

"Kami cuba untuk meminjam daripada peserta lain namun tidak muat dan kami berusaha untuk mendapatkan yang baharu namun Nur Ayuni mengatakan dia memerlukan dua bulan untuk membiasakan diri dengan jaket baharu," katanya.

Tambah Musa, Nur Ayuni tidak berhenti menangis dan mahu segera pulang ke Malaysia apabila dimaklumkan dia tidak dapat bertanding.

Bagaimanapun Musa berkata, Nur Ayuni akan terus tinggal bersama pasukan di sini dan memberi sokongan kepada Muslifah Zulkifli yang dipertanggungjawabkan untuk menggalas tugasnya dalam acara air rifle 10 meter dan Suryani yang bertanding pada Sukan Olimpik 2012 ketika mengandung 30 minggu akan menggantikannya dalam acara rifle prone 50 meter. - REUTERS

"Lesen untuk senjata api semuanya menggunakan nama Nur Ayuni dan disebabkan itu kami tidak boleh menghantarnya pulang.


"Nasib tidak menyebelahi kami tambahan pula dia terlalu memikirkan hal ini. Kami sedih apabila melihat keadaannya," kata Musa. SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140723/su_06/Cabaran-Nur-Ayuni-berakhir-sebelum-mula-menembak#ixzz38JZqeTWX © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment