Ad

Tuesday 22 July 2014

FAM yakin barisan pilihan Dollah Salleh


 

FAM yakin barisan pilihan Dollah Salleh
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
Afandi Hamzah
KOTA BHARU - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yakin barisan baharu pengendali skuad Harimau Malaya yang diketuai bekas jurulatih PDRM, Dollah Salleh mampu membawa perubahan dalam usaha memulihkan semula maruah bola sepak negara.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, barisan kejurulatihan yang dibentuk itu dilihat memiliki ramuan terbaik berdasarkan kepada pengalaman mereka sebagai pengendali pasukan sebelum ini.

"Harapan kami barisan kejurulatihan baharu mampu menaikkan mutu bola sepak negara dan saya yakin pilihan yang dibuat itu adalah pilihan yang terbaik.

"Kami yakin mereka mampu bekerja secara berpasukan dan ujian pertama mereka adalah Kejohanan AFF 2014 yang bakal dihoskan oleh Singapura dan Vietnam pada November ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas diminta mengulas mengenai pengumuman barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang baharu di sini semalam.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan FAM melantik bekas pemain negara era 70-an, Mohd. Reduan Abdullah dan Wan Mustaffa Wan Ismail sebagai penolong jurulatih skuad Harimau Malaya.

Perlantikan mereka ini bagi membantu Dollah yang akan menggalas tugas sebagai pengendali pasukan kebangsaan.

Dalam perkembangan lain, Afandi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM memberitahu, badan induk bola sepak negara itu telah meminda jadual perlawanan pertandingan Piala Malaysia membabitkan pertemuaan T-Team dengan Selangor yang sebelum ini dijadualkan 14 Ogos kepada 13 Ogos.

Katanya, perubahan tersebut dibuat selaras dengan peraturan negeri Terengganu yang tidak membenarkan sebarang aktiviti berbentuk sedemikian diadakan pada malam Jumaat.

Ujarnya, selain itu FAM turut meneliti kembali keseluruhan jadual perlawanan Piala Malaysia.

"Kita faham yang kita perlu menyediakan jadual yang terbaik untuk setiap perlawanan tetapi pada masa yang sama kita juga mempunyai kekangan tertentu," jelasnya.

Akhbar tempatan 20 Julai lalu melaporkan Pegawai Eksekutif T-Team Abdul Rashid Jusoh meminta jadual pertandingan Piala Malaysia melibatkan pasukan T-Team dan Selangor di sini pada 14 Ogos diubah kerana diadakan pada malam Jumaat.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140723/su_02/FAM-yakin-barisan-pilihan-Dollah-Salleh#ixzz38EwK2dZo © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment