Ad

Saturday, 19 July 2014

Kelantan tekad pulih reputasi tercalar


 Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my
 
KAPTEN daripada pasukan negeri dan kelab memegang Piala Malaysia pada majlis undian di Dewan Perdana, Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil minggu lalu.

PRESTASI hambar Kelantan pada saingan Liga Super serta kegagalan mempertahankan kejuaraan Piala FA musim ini sememangnya memberikan tamparan hebat kepada skuad The Red Warriors itu.

Apa tidaknya, Kelantan dilihat cukup gah dalam kancah Liga Malaysia sepanjang tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Kelantan tampil dengan aksi sumbang musim ini apabila sekadar menamatkan saingan Liga Super di tangga keenam selain terlepas Piala FA.

Punca utama kegagalan itu sudah pasti disebabkan Kelantan kehilangan hampir separuh pemain utama yang berhijrah ke pasukan baharu selain salah percaturan taktikal diterapkan oleh ketua jurulatih, Steve Darby sebelum ini.

Situasi tersebut nyata menghadirkan resah kepada 'pemain ke-12' The Red Warriors iaitu peminat dan penyokong Kelantan sehinggakan ada segelintir dalam kalangan mereka enggan lagi bertandang ke stadium.

Keadaan itu juga memberikan impak cukup besar kepada kantung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang mengalami penyusutan agak ketara daripada segi kutipan jualan tiket.

Namun, segala-galanya mula berubah apabila KAFA membuat perubahan drastik dengan menyingkirkan Darby dan membawa masuk bekas pemain kebangsaan Belanda, Goerge Boateng untuk membimbing The Red Warriors.

Kehadiran Boateng sebagai pengendali baharu Kelantan menampakkan sinar baharu walaupun skuad kendaliannya gagal mempertahankan kejuaraan Piala FA selepas disingkirkan Felda United pada aksi separuh akhir.

Kegagalan menjuarai kempen Piala FA itu juga menyaksikan Kelantan terlepas tiket untuk beraksi pada saingan Piala Asia (AFC) tahun depan.

Justeru, pentas Piala Malaysia yang akan membuka tirai pada 13 Ogos depan menjadi medan buat Boateng dan barisan pemain The Red Warriors untuk mengembalikan semula reputasi gah mereka selaku finalis musim lalu.

Harapan seluruh peminat dan penyokong setia Kelantan kini disandarkan sepenuhnya di bahu Boateng untuk merencanakan ramuan terbaik dalam usaha mengembalikan semula maruah The Red Warriors yang terjejas teruk.

Keupayaan Boateng selaku pengendali The Red Warriors bakal diuji apabila Kelantan undi dalam Kumpulan C bersama-sama juara Liga Super, Johor Darul Takzim (Johor DT) selain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pulau Pinang.

Berdasarkan prestasi semasa serta ramuan pemain yang dimiliki Johor DT, mereka tampak tidak berdepan banyak masalah untuk melangkah ke pusingan seterusnya mengulangi prestasi yang diperagakan ketika menjuarai Liga Super musim ini.

Sebaliknya, Kelantan perlu bekerja dengan lebih keras seandainya mahu melepasi peringkat kumpulan.

Ini kerana ATM bukanlah calang-calang pasukan dan cukup liat untuk dijinakkan selain Kelantan belum mengetahui kemampuan Pulau Pinang yang bersaing dalam saingan Liga Primer.

Kedua-dua pasukan itu pastinya turut memasang impian untuk melakukan kejutan selepas mempamerkan aksi hambar dalam saingan liga.

Bagaimanapun, semuanya terpulang kepada aksi yang bakal diperagakan oleh setiap pasukan dalam saingan peringkat kumpulan dan keputusan itulah menentukan hala tuju mereka pada edisi kali ini.

Apa sahaja boleh berlaku dan secara logiknya, pasukan yang kurang melakukan kesilapan serta bijak memanfaatkan setiap peluang yang diperoleh, maka merekalah yang akan dinobatkan sebagai pemenang.

Bagi The Red Warriors, inilah peluang terbaik yang perlu dimanfaatkan oleh mereka untuk mengembalikan semula kepercayaan peminat walaupun Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa awal-awal lagi tidak meletakkan harapan tinggi.

Kenyataan Annuar itu tampak berasas selepas mengambil kira keupayaan dan persembahan semasa pasukan selain faktor pemain yang dimiliki The Red Warriors.

Bagaimanapun, Boateng tampil dengan nada berbeza dan melaungkan keyakinan skuad kendaliannya itu akan memperagakan aksi yang lebih menyakinkan dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

Pengendali berusia 38 tahun itu bertekad membawa Kelantan mara ke peringkat lebih tinggi dengan meletakkan sasaran mara ke pentas final.

Keyakinan yang dilontarkan oleh Boateng itu berdasarkan kepada beberapa tonggak utamanya yang sebelum ini dibelenggu kecederaan sudah pulih sepenuhnya.

"Ramai yang beranggapan Kelantan berada dalam kumpulan maut kerana diundi bersama pasukan kuat iaitu Johor DT, ATM dan Pulau Pinang namun pada saya sebaliknya.

"Saya lebih selesa mengatakan setiap pasukan yang bersaing dalam kumpulan ini akan memberikan saingan sengit dalam setiap pertemuan dan ia pasti menarik untuk diperkatakan," katanya.

Menurut Boateng, beliau lebih gemar cabaran dan menganggap pertemuan dengan pasukan terkuat dalam saingan peringkat kumpulan akan menguji keupayaan Kelantan bagi mengharungi saingan Piala Malaysia musim ini.

"Apa yang penting, Kelantan perlu fokus dalam rangka persiapan menjelang kejohanan tersebut selain memberikan aksi terbaik pada setiap perlawanan yang bakal diharungi nanti.

"Kami tidak boleh memandang rendah kemampuan setiap pasukan yang ada dalam Kumpulan C, ini saingan Piala Malaysia.

"Saya tahu Johor DT antara pasukan terkuat dalam Kumpulan C dan begitu juga dengan ATM dan Pulau Pinang. Jadi kami perlu bersedia untuk berhadapan dengan mereka nanti," tegasnya.

Jika dilihat daripada segi ramuan pemain yang ada, The Red Warriors bukanlah pasukan lemah dan mudah untuk ditumbangkan walaupun ramai beranggapan sedemikian gara-gara aksi kurang konsisten sepanjang saingan Liga Super dan Piala FA.

Semuanya bergantung kepada strategi yang digunakan dan The Red Warriors mampu kembali ke prestasi sebenar jika Boateng bijak meletakkan pemain di posisi yang betul selain menggunakan formasi 4-4-2 yang sememangnya cukup sinonim dengan Kelantan.

Bermula di posisi benteng terakhir, Kelantan tidak berdepan dengan masalah besar kerana mereka memiliki Khairul Fahmi Che Mat sebagai penjaga gawang yang kaya dengan pengalaman di peringkat antarabangsa begitu juga Mohd. Shahrizan Ismail dan Mohd. Syazwan Yusoff.

Walaupun kedua-dua pemain itu kerap memanaskan bangku simpanan, namun mereka mampu menggalas tugas jika Khairul Fahmi mengalami kecederaan.

Apa yang merisaukan Kelantan ketika ini adalah bahagian pertahanan yang dilihat cukup goyah dan mudah untuk ditembusi oleh jentera serangan pasukan lawan.

Masalah tersebut perlu diberikan keutamaan oleh Boateng jika mahu melihat Kelantan mara ke pentas final.

Kehadiran Hussain Ala Salma yang menggantikan Obinna Nwaneri gagal memberikan impak yang cukup besar dan pemain tempatan seperti Nik Shahrul Azim Ab. Halim, Mohd. Farisham Ismail, Mohd. Fitri Omar dan Tuan Mohd. Faim Tuan Hassan dilihat lebih menonjol berbanding tonggak kelahiran Iraq itu.

Andai Boateng berani mencuba gandingan Nik Shahrul Azim, Tuan Mohd. Faim, Mohd. Fitri serta seorang lagi tonggak import, Mohamed Shawky Aly, benteng pertahan Kelantan dilihat lebih ampuh dalam usaha mematahkan setiap asakan jentera serangan pasukan lawan.

Bahagian 'nadi' Kelantan tidak berdepan banyak masalah kerana kehadiran Branden Gan yang bertindak sebagai pertahanan tengah dilihat berjaya membentuk gandingan mantap bersama-sama kapten, Mohd. Badhri Radzi atau Piya.

Kepantasan larian Ahmad Fakri Saarani dan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria serta kemahiran individu tinggi dimiliki kedua-dua tonggak berkenaan menjadikan bahagian tengah Kelantan lebih efektif terutama di posisi sayap.

Cuma aksi 'turun naik' dipamerkan Piya menghadirkan resah dalam kalangan penyokong yang menuntut jeneral tengah itu mengembalikan semula prestasi sebenarnya.

Begitupun, Piya tidak boleh terlalu selesa dan beranggapan tempatnya sukar digugat pemain lain kerana Shawky dilihat sebagai pengganti terbaik jika dia mempamerkan aksi tidak konsisten.

Selain posisi pertahanan dan tengah, jentera serangan Kelantan turut menjadi tumpuan apabila kelibat Price Tagoe menjadi perhatian dalam kalangan peminat setia The Red Warriors.

Ini kerana Tagoe dilihat masih gagal memberikan sumbangan berkesan kepada pasukan sejak dibawa masuk menggantikan Mohammad Ghaddar pada April lalu.

Pentas Piala Malaysia musim ini menjadi platform terbaik kepada bekas pemain kebangsaan Ghana itu untuk membuktikan kemampuannya bagi membentuk gandingan mantap bersama-sama Francis Forkey Doe serta penyerang sedang meningkat naik, Mohd. Khairul Izuan Rosli.

Kehadiran Ahmad Shakir Ali turut memberikan banyak pilihan kepada Boateng untuk merencana ramuan terbaik di jentera serangan Kelantan bagi mengharungi saingan Piala Malaysia kali ini.

SUMBER-KOSMO ONLINE 20.7.14

No comments:

Post a Comment