Ad

Saturday 19 July 2014

CAMPUR TANGAN DI SABAH DAN SARAWAK

2.1.3 Cara Peluasan Kuasa Asing di Sabah
Peluasan Kuasa Asing British dan Amerika Syarikat di Sabah.
Sabah dahulu dikuasai oleh dua buah kesultanan yang berasingan iaitu:
1.Bahagian barat Sabah terletak di bawah Kesultanan Brunei.
2.Bahagian timur Sabah dikuasai oleh Kesultanan Sulu.


FAKTOR CAMPUR TANGAN
1.Pada abad ke-19, banyak kuasa asing tertarik dengan Borneo Utara kerana kedudukannya yang strategik, iaitu di tengah jalan perdagangan ke China.
2 Pada tahun 1762, seorang pegawai British, Alexander Dalrymple berjaya mempengaruhi Sultan Sulu, iaitu Sultan Muizuddin menandatangani satu perjanjian perdagangan. Pihak British diberi kebenaran mendirikan sebuah loji perdagangan dan berdagang dalam kawasan taklukan Sultan Sulu. Sebagai balasan, pihak British hendaklah membantu Sulu sekiranya diserang dan Sultan Sulu pula hendaklah melindungi pihak British daripada semua musuhnya.
3 Pada tahun 1846, SHTI berjaya mendapatkan Labuan daripada Sultan Brunei, iaitu Sultan Abdul Mu'mein dan telah menjadikannya sebagai Tanah Jajahan Mahkota British. Pada tahun 1865, seorang wakil Amerika Syarikat, Charles Lee Moses tiba di Brunei dan telah memujuk Sultan Abdul Mu'mein memajakkan sebahagian daripada jajahan baginda seperti Borneo Utara dan pulau-pulau Banggi, Balabac, Palawan kepadanya selama 10 tahun. Sebagai balasan, Moses akan membayar 9 500 pound setahun kepada baginda.
4.Moses kemudiannya pergi ke Hong Kong dan menjual hak konsesinya kepada seorang pedagang Amerika bernama William Torrey. Dengan bantuan saudagar Cina di Labuan, Torrey menubuhkan The American Trading Company.
5.The American Trading Company menggunakan buruh Cina untuk menanam kopi dan tebu di kawasan Kimanis. Malangnya, syarikat ini terpaksa menghentikan usaha yang merugikan itu. Setelah gagal, William Torrey telah menjual konsesi itu kepada Baron Von Overbeck, iaitu Konsul Austria di Hong Kong
6.Overbeck tidak mempunyai modal untuk memajukan konsesi itu. Oleh itu, beliau berkongsi dengan seorang saudagar British yang kaya bernama Alfred Dent.
7. Mereka membuat rancangan untuk memajukan kawasan yang diperoleh tetapi tempoh konsesi, iaitu selama 10 tahun telah tamat. Kemudiannya, Overbeck dan Dent memperbaharui konsesi ini dengan Sultan Brunei.[1]

 Cara peluasan kuasa British di Sabah
(a) Pada tahun 1877, Overbeck dan Dent menandatangani perjanjian dengan Sultan Abdul Mu'mein dan Pangeran Temenggong.
(b) Oleh sebab sebahagian daripada wilayah Sabah di bawah pemerintahan Kesultanan Sulu, Overbeck dan Dent telah menandatangani satu lagi perjanjian dengan Sultan Jamalul Alam.
Overbeck dan Dent telah pergi ke Jolo, ibu kota Sulu untuk membuat perjanjian dengan Sultan Sulu dan menandatangani perjanjian pada 1878 dengan sultan Sulu.[2]

Kesan-kesan Perjanjian 1877 dan  1878
Melalui perjanjian dengan Sultan Brunei pada tahun 1877 dan perjanjian dengan Sultan Sulu pada tahun 1878, Syarikat Overbeck dan Dent memperolehi Borneo Utara seluas 28 000 batu persegi yang meliputi kawasan di antara Teluk Gaya di pantai barat hingga ke Sungai Sibuku di timur wilayah Kimanis.

      Syarikat Overbeck dan Dent membuat keputusan untuk membentuk sebuah syarikat British yang membolehkan rakyat British melabur melalui pembelian saham. Oleh sebab syarikat yang akan dibentuk itu ialah syarikat British, maka Overbeck yang bukan rakyat British menarik diri.Alfred Dent membeli semua hak Overbeck dan menubuhkan Persatuan Sementara Borneo Utara British Berhad. Selepas itu, beliau memohon piagam daripada kerajaan British untuk mengukuhkan kedudukan syarikat tersebut.

     Pada tahun 1881, kerajaan British meluluskan permohonan Alfred Dent kerana mempunyai kepentingan di Sabah. Pada tahun 1882, syarikat itu dinamakan Syarikat Borneo Utara British (SBUB) dan mengendalikan pentadbiran Sabah.Melalui pemberian Piagam Diraja, British memperluaskan kuasanya di Sabah di samping menghalang kuasa Barat lain bertapak di Sabah.

     Pada 1 November 1888, British bersetuju memberi Piagam Diraja kepada Persatuan Sementara Borneo Utara British Berhad. Nama syarikat ini telah ditukar kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara atau ringkasnya SBBU.[3]




[1]Ong Loo Chen, “Teks Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara”Penggal 3,(Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd., Bandar Baru   Bangi, 2014),64.
[2] Ibid.
[3] Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusof, “Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara Penggal 3,” (Oxford Fajar Sdn. Bhd.,Shah Alam, 2013),58.

No comments:

Post a Comment