Ad

Tuesday 22 July 2014

'Saya tidak akan membayangi Dollah'

 
Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

REDUAN (berdiri jersi merah) telah menjadi jurulatihh Perlis dalam saingan Liga M musim ini.dalam saingan Liga M.

SENARAI 'orang kuat' jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh akhirnya diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Jurulatih Perlis, Reduan Abdullah (gambar kecil) bakal menggalas tugas sebagai pembantu jurulatih skuad kebangsaan bersama Wan Mustaffa Wan Ismail sementara bekas penjaga gol Johor, Omar Salim pula dilantik menjadi jurulatih penjaga gol.

Reduan berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kerana memberikan kepercayaan kepada beliau membantu Dollah mengendalikan skuad kebangsaan.

Bekas pemain kebangsaan yang pernah beraksi bersama Selangor itu memberitahu, beliau pernah didatangi Dollah berhubung perkara itu baru-baru ini dan berjanji akan memberikan yang terbaik.

"Saya bersedia membantu Dollah dengan sepenuh jiwa dan raga saya.

"Pada masa sama, saya juga mengucapkan terima kasih kepada kesemua pihak terutamanya Presiden FAM kerana menaruh kepercayaan kepada saya," katanya kepada Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, Reduan enggan membayangi kredibiliti Dollah sebagai jurulatih kebangsaan.

"Pada 2001, saya pernah menjadi jurulatih Selangor MPPJ dan kini saya pula menjadi pembantu jurulatih.

"Tetapi tidak kira siapa pun yang menjadi jurulatih, masing-masing ada idea tersendiri.

"Apa yang pasti, saya bersedia membantu Dollah pada bila-bila masa," jelas beliau.

Ketika ditanya sama ada sasaran mara ke final Piala Suzuki AFF tahun ini realistik ataupun tidak, jelas Reduan: "Itu kena tanya Dollah."

Reduan berkata, kontrak beliau bersama Perlis sudah tamat secara persetujuan bersama dan akan komited bersama skuad kebangsaan selepas ini.

Sebelum ini, Dollah yang secara rasmi dilantik sebagai jurulatih Harimau Malaya pada 28 Jun lepas bagi menggantikan Datuk K Rajagobal pernah meluahkan hasrat memburu staf kejurulatihan yang senang bekerjasama dengan beliau mengendalikan skuad kebangsaan.

Antara calon-calon hangat yang dikaitkan menerajui staf kejurulatihan Dollah termasuklah Khairul Azman Mohamed, Azman Adnan, Fauzi Pilus dan Abdul Mubin Mokhtar.

Dollah kini mempunyai masa kurang lima bulan untuk mempersiapkan pasukan bagi mengharungi kejohanan Piala AFF di Singapura dan Vietnam pada November depan.

Sebelum mengharungi kejohanan dwi-tahunan itu, beliau terlebih dulu bakal menguji pasukannya dalam beberapa siri aksi persahabatan iaitu menentang Tajikistan pada 6 Ogos, Singapura (6 September) dan Jordan (11 Oktober).

SUMBER-KOSMO ONLINE 22.7.14

No comments:

Post a Comment