Ad

Saturday 26 July 2014

Malaysia pamer aksi cemerlang

 
Firdaus Ahmad Tajuddin meraikan jaringan kedua Malaysia bersama rakan-rakan sepasukan ketika menentang Kanada pada pusingan awal Sukan Komanwel di Glasgow, semalam.
KUALA LUMPUR - Pasukan hoki lelaki negara meraih kemenangan penting apabila berjaya mengetepikan cabaran sengit yang diberikan Kanada dalam aksi sulung Kumpulan B Sukan Komanwel XX untuk menang 2-0 di Glasgow, semalam.

Kemenangan itu memastikan skuad negara berada di laluan betul untuk mencari tempat ke separuh akhir sebelum pasukan pilihan, England hari ini.

Jaringan pertama skuad negara hadir menerusi pukulan sudut penalti dan situasi set-piece yang direncanakan dalam kawasan D Kanada bijak dibaca Ahmad Kazamirul Nasruddin yang menolak kencang ke dalam gawang lawan.

Kedudukan 1-0 kekal di babak pertama dan Kanada cuba mendapatkan gol penyamaan pada baki 35 minit, namun pertahanan negara kental walaupun lawan beberapa kali berjaya mendapatkan pukulan sudut penalti.

Akhirnya, Izwan Firdaus Tajudin menghukum kerapuhan benteng Kanada hasil serang balas yang pantas pada minit terakhir permainan bagi memastikan kemenangan mutlak milik Malaysia.

Jurulatih hoki negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah berkata, kemenangan itu seperti membalas dendam kekalahan di separuh akhir Cabaran Juara-Juara 1 yang meyaksikan mereka tewas 5-4 melalui penentuan penalti.

"Kemenangan ini sesuatu yang manis kerana kita kalah dengan lawan sama sebelum ini dan memberikan keyakinan kepada para pemain muda.

"Perlu diingat, kami ke sini sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia 2014 tetapi kami tetap mahu memburu keputusan yang baik di Sukan Komanwel," kata Dharma.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140727/su_02/Malaysia-pamer-aksi-cemerlang#ixzz38cOhpKLm © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment