BORODAI (kanan) bersama
Strelkov (kiri) pada satu sidang akhbar di Donetsk pada 12 Julai lalu.
KIEV - Seorang komander pejuang
pemisah Ukraine, Igor Strelkov dan seorang lagi pemimpin pejuang pemisah,
Alexander Borodai yang melantik dirinya sebagai Perdana Menteri Donetsk
dikaitkan sebagai individu yang bertanggungjawab menembak jatuh sebuah pesawat
Penerbangan Malaysia di ruang udara negara itu kelmarin.
Strelkov yang mendakwa sebagai
Menteri Pertahanan Donetsk didapati memuat naik satu mesej di laman Facebook
yang mendakwa, dia menembak sebuah pesawat tentera beberapa minit sebelum
berita berhubung pesawat MH17 terhempas tersebar.
"Kami telah memberi amaran
jangan terbang di ruang udara kami," katanya.
Dalam laman sosial berkenaan,
Strelkov memberitahu bahawa para pejuangnya menembak jatuh sebuah pesawat yang
mereka percaya sebuah pesawat tentera jenis Antonov-26.
Strelkov juga mendakwa, mereka
turut merakamkan detik pesawat itu terhempas di sebuah kawasan perlombongan
berhampiran.
"Berhampiran Torez
sekarang, sebuah pesawat An-26 berjaya ditembak.
"Tiada kerosakan pada
kawasan kejiranan dan semua orang awam tidak cedera," ujarnya lagi.
Bagaimanapun, mesej berkenaan
segera dipadamkan selepas laporan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia yang
membawa orang awam meletup di udara mula tersebar.
Seorang pakar ketenteraan
Ukraine, Alexander Motyl berkata, mesej itu dihantar melalui akaun Facebook
milik Strelkov.
"Mungkin dia beranggapan
mereka menembak sebuah pesawat tentera," katanya.
Sementara itu, satu rakaman
video yang diambil melalui telefon bimbit tersiar di internet dan dalam rakaman
itu kedengaran suara beberapa pejuang pemisah ketawa ketika melihat pesawat
berkenaan terhempas.
"Tengok kepulan asap
itu," kata seorang lelaki ketika pesawat itu terbakar sejurus terhempas di
bumi.
Satu suara dipercayai Strelkov
atau nama sebenarnya Igor Girkin juga boleh didengari dalam video berkenaan. -
Agensi
SUMBER-KOSMO ONLINE 19.7.14
No comments:
Post a Comment