Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
AB. AZIZ (tengah) bersama
Roslee (kanan) dan Sani di hadapan bangunan Markas Staf Stesen Kem Majidee yang
bakal berpindah lokasi.
PENUTUPAN Kem Majidee, antara
kem tertua Tentera Darat pada 21 Jun lalu mencetuskan pelbagai reaksi daripada
penduduk setempat terutamanya dari Kampung Melayu, Taman Pelangi, Taman
Melodies dan Kampung Bakar Batu.
Ini kerana telah wujud satu
ikatan istimewa antara anggota tentera yang mendiami kem tersebut dan
penduduk-penduduk kampung berdekatan yang telah menetap di sekitar kem tersebut
sejak sekian lama.
Seorang penduduk Kampung Bakar
Batu, Fadhli Yusoff, 35, menjelaskan, Kem Majidee menjadi kemegahan warga Johor
kerana telah melahirkan ramai perwira negara sejak awal kemerdekaan.
Namun dia berharap agar
penutupan kem itu bagi memberi laluan kepada Kota Southkey tidak menjadikan
nama Kem Majidee dilupakan dalam lipatan sejarah.
“Apabila ditutup, yang tinggal
hanyalah namanya sahaja sedangkan sebelum ini apabila datang ke Johor Bahru,
Johor kem ini tersergam indah dan menjadi simbolik pertahanan negara,” katanya.
Perkara ini diakui sendiri oleh
Panglima 7 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Ab. Aziz Abdullah kerana beliau
pasti legasi Kem Majidee terus utuh dalam memori penduduk bandar raya Johor
Bahru.
Menurut Ab. Aziz, ikatan
istimewa yang lama terjalin antara tentera dan penduduk setempat adalah bukti
bahawa Kem Majidee bukan sahaja dikenali sebagai mercu tanda pertahanan negara
bahkan turut menjadi inspirasi kepada masyarakatnya.
“Selain berasa selamat dan
aman, kehadiran anggota tentera kami juga dilihat satu deklarasi kepada
sumbangan dan penerimaan baik mereka kepada kami.
“Contohnya, masih ada ramai
lagi penduduk setempat yang gemar menggunakan Masjid Shuhada di dalam kem
kerana mereka berasa lebih selesa dan gembira untuk berkait rapat dengan kami,
anggota tentera.
“Kami juga mengadakan pelbagai
pameran, kerjasama komuniti, gotong-royong dan sebagainya. Ini menjadikan
kehadiran anggota tentera dalam kem ini amat penting bagi komuniti setempat,”
jelas Ab. Aziz.
Memori
BLOK kediaman bujang selepas
ditinggalkan.
Jelas beliau, kewujudan Kem
Majidee ini sejak dari awal lagi telah berjaya memenangi hati dalam setiap
penduduk setempat.
Justeru, penutupan kem yang
telah bertapak sejak 74 tahun itu sudah pasti amat mengguris memori ramai
penduduk dan bekas anggota tentera yang lama berkhidmat di sini.
Ada antara penduduk setempat
mempersoalkan penutupan kem berkenaan dengan alasan lokasi tersebut adalah amat
strategik bagi pertahanan negara di selatan.
Menjelaskan hal tersebut, Ab.
Aziz berkata, semasa dibuka, kem tersebut memang satu lokasi yang strategik
bagi pertahanan negara.
“Namun, kem ini terpaksa
berundur bagi memberi keutamaan kepada kepesatan pembangunan di Johor kami pula
diberi penempatan yang lebih moden dan selesa.
“Lokasi baharu tidak akan
memberi impak besar dari segi operasi dan taktikal kerana tugas, tanggungjawab
dan kemampuan kami masih lagi sama.
“Kita ada tiga batalion
infantri yang akan bersiap bersedia melindungi selatan tanah air, jadi saya
rasa ia bukan satu masalah jika dilihat dalam konteks lokasi,” tambah beliau.
Sementara itu, Pegawai Staf
Pentadbiran Markas Staf Stesen Johor Bahru, Mejar Roslee Mohd. Salleh
memberitahu, pelbagai kenangan dan memori manis akan terus diingatinya
sepanjang bertugas di Kem Majidee ini.
“Kem ini banyak berjasa dan
menyimpan pelbagai kenangan kepada kami semua. Ia pastinya menjadi sejarah yang
akan dikenang sampai bila-bila.
“Setiap anggota akan melalui
saat manis atau sukar sepanjang bergelar tentera. Begitu juga kami sejak
menjejakkan kaki di kem ini sehingga meniti usia persaraan,” katanya.
Meskipun bangunan-bangunan di
dalamnya akan hilang digantikan dengan bangunan komersil, pusat beli-belah dan
perumahan moden, namun legasi yang ditinggalkan Kem Majidee ini akan tetap utuh
dalam hati penduduk setempat dan bekas penghuninya.
SUMBER-KOSMO ONLINE 24.7.14
No comments:
Post a Comment