Ad

Monday, 28 July 2014

‘Skuad campuran’ taruhan Kim Swee

Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara Datuk Ong Kim Swee menaruh keyakinan tinggi dengan kemampuan anak buahnya memberi saingan di Sukan Asia Incheon, Korea Selatan, meskipun mempertaruhkan ‘skuad campuran’.

Mengikut perancangan, pengendali berusia 43 tahun itu akan menggabungkan 12 pemain skuad Harimau Muda A yang kini beraksi dalam Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Australia dengan 13 pemain Liga Super dan Liga Perdana.

Bagaimanapun, apa yang menyulitkannya masa yang agak singkat untuk mengumpul kesemua pemain sebelum berlepas ke Incheon pada 13 atau 14 September ini.

“Saya hanya boleh kumpul kesemua pemain ketika saingan Piala Malaysia berehat pada 3 September ini.
 Dalam sesi latihan itu saya akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan satu pasukan tempatan pada 6 September dan selepas itu kami akan ke China untuk menentang skuad B-23 China di Qingdao pada 10 September sebelum ke Incheon.

“Masa yang ada agak singkat untuk saya mencorak strategi kerana akan menggabungkan pemain Harimau Muda A dan pemain luar termasuk tiga pemain lebih umur 23 tahun,” katanya kepada Arena Metro.

Bagaimanapun sedikit melegakan buat Kim Swee kerana kebanyakan pemain luar yang bakal dipanggil menyertai skuad B-23 itu bekas anak didiknya ketika bersama Harimau Muda A.

“Apa yang positif adalah kebanyakan pemain luar bekas pemain Harimau Muda A seperti Wan Zack Haikal (Wan Noor), Mohd Fadhli Shas, Wan Zaharulnizam (Zakaria), A Thamil Arasu, Irfan Fazail, Rozaimi (Abd Rahman) dan Nazmi (Faiz Mansor).

Saya amat mengenali pemain ini kerana pernah bersama saya sebelum ini,” katanya.

Namun, apa yang menjadi persoalan tahap kecergasan dalam perlawanan beberapa pemain yang lebih banyak memanaskan kerusi simpanan bersama pasukan masing-masing.

“Walaupun pemain ini pernah bersama saya tapi apa yang merisaukan mereka jarang beraksi, malah ada di antaranya langsung tidak diturunkan dalam perlawanan liga sebelum ini.
 Foto
KIM Swee
Saya harap mereka ini masih mempunyai tahap kecergasan yang baik,” kata Kim Swee.

Bagi kuota tiga pemain lebih umur, jurulatih itu akan memanggil pemain pertahanan dari Johor Darul Ta’zim Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak dan S Subramaniam, pemain tengah Kelantan, Brendan Gan, penyerang Polis Diraja Malaysia, Bobby Gonzales dan Mohd Nor Farhan Muhammad dari Terengganu bagi sesi pemilihan.

Skuad kendalian Kim Swee diberikan sasaran sekurang-kurangnya menyamai pencapaian 2010 di Guangzhou, China apabila mara ke pusingan kedua dengan menduduki tangga ketiga Kumpulan A sebelum tumpas kepada Iran 1-3.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/28

No comments:

Post a Comment