Susunan SOPI SAMAILE dan ZAKI
SALLEH
PERBALAHAN Ukraine dengan Rusia
yang berlaku sejak empat bulan lalu antara kerajaan pro-Barat Kiev dengan puak
pemisah yang mahu menyertai Moscow menjadi punca konflik kedua-dua negara.
Ekoran pertelagahan itu,
beberapa siri keganasan telah meletus di wilayah Ukraine yang berbahasa Rusia
di timur disebabkan pemberontakan pro-Eropah di Kiev telah menggulingkan
presiden yang disokong Moscow pada Februari lalu sekali gus membawa kepada
pendudukan Rusia ke atas Crimea.
Pada masa sama, Petro
Poroshenko yang telah dipilih sebagai Presiden Ukraine pada penghujung bulan
Mei lalu enggan melanjutkan gencatan senjata selama 10 hari memandangkan ia
telah dilanggar berulang kali oleh puak pemisah pro-Rusia.
Ekoran itu, Poroshenko
mengumumkan kempen ketenteraan kerajaan bagi mengatasi masalah yang ditimbulkan
oleh kumpulan pemisah berkenaan.
Keadaan semakin tegang sejak
semalam (Jumaat) dengan Ukraine dan Rusia saling menyalahkan antara satu sama
lain terhadap serangan rentas sempadan.
Rusia menuduh tentera Ukraine
melakukan tembakan yang terkena sebuah rumah di dalam wilayah Rusia Ahad lalu,
membunuh seorang lelaki Rusia dan mencederakan seorang wanita, namun Kiev
menafikan tenteranya terlibat.
Bagaimanapun, sejak konflik dan
pendudukan wilayah Crimea pada 21 Mac lalu, krisis antara Rusia dan Ukraine
berlarutan bahkan bertambah buruk.
Malah, kemelut politik dan
keselamatan paling buruk di Eropah itu dilihat tiada berpenghujung menyebabkan
situasinya menjadi lebih teruk memandangkan kedua-dua belah pihak sering
bertindak balas.
Keadaan tegang kedua-dua negara
bekas Kesatuan Soviet itu juga dilihat boleh membawa kepada kemungkinan
berlakunya peperangan.
Poroshenko pula tidak akan
sekali-kali membenarkan puak pemisah pro-Rusia bebas memasuki dan menyerang
negara tersebut.
Pada masa sama, Ukraine turut
cuba mengelak negara tersebut daripada terjatuh ke dalam perangkap Presiden
Rusia, Vladimir Putin.
SEORANG pejuang pemisah
pro-Rusia dirakam berdiri di atas sebuah kereta kebal T-64 di Donetsk, timur
Ukraine.
Matlamat utama Putin adalah
untuk mengulangi krisis di wilayah Crimea, namun kali ini ia dilihat dalam
skala yang lebih besar.
Pada 28 Mac lalu, sejumlah
besar tentera Rusia telah mara dan bersiap sedia di sempadan Ukraine.
Sejak itu, Putin hanya menunggu
peluang untuk melakukan serangan terhadap Ukraine.
Alasan
Walau apa pun alasan Putin,
beliau sebenarnya langsung tidak mengambil berat tentang keselamatan etnik
Rusia yang tinggal di Ukraine.
Bahkan, Putin turut tidak kisah
tentang sekatan yang bakal dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan
Eropah (EU) terhadap negara berkenaan dan tidak mengambil berat tentang
keamanan di Eropah.
Apa yang menjadi keutamaannya
adalah mencapai hasrat dan matlatmatnya untuk mengembalikan Empayar Rusia dan
zaman kegemilangan Kesatuan Soviet.
Menurut seorang pegawai
Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Rusia telah meningkatkan kehadiran
tenteranya di sempadan Rusia-Ukraine dengan jumlahnya dianggarkan lebih 12,000
orang.
Poroshenko dalam pada itu
menyalahkan tentera Rusia di atas kejadian pada Isnin lalu apabila sebuah
pesawat pengangkut tentera An-26 telah ditembak jatuh berhampiran sempadan
kedua-dua negara bertelagah.
Laporan dari Ukraine
menunjukkan bahawa pesawat berkenaan mungkin ditembak jatuh menggunakan peluru
berpandu lebih kuat yang dipercayai dilancarkan dari wilayah Rusia, menurut
laman web Presiden Poroshenko.
Jika laporan tersebut benar, ia
akan menjadi titik tolak kepada permulaan peperangan antara kedua-dua negara.
“Militan akan membayar harga
beratus-ratus nyawa mereka untuk setiap nyawa anggota keselamatan kami. Tidak
ada seorang pengganas yang akan terlepas, setiap daripada mereka akan dihukum,”
tegas Poroshenko.
Pada masa ini, keutamaan adalah
untuk menyekat kemaraan Rusia, namun Poroshenko perlu berhati-hati dengan
tindakannya. Ini kerana tindakan yang agresif daripada ketenteraan Ukraine
adalah impian Putin.
Memilih untuk memberikan tindak
balas merupakan sesuatu yang sukar, tetapi bertindak balas dengan keganasan
juga merupakan sesuatu yang salah.
Sebuah bangunan hancur dan
rosak akibat pertempuran di Kramatorsk, wilayah Donetsk di timur Ukraine.
Kuasa besar
Ukraine tidak mempunyai
kepentingan atau manfaat bahkan boleh hilang segala-galanya jika melibatkan
diri dalam peperangan dengan kuasa besar seperti Rusia.
Meskipun tidak ideal, tindak
balas terbaik bagi Ukraine adalah untuk menunggu apa yang berlaku seterusnya.
Walaupun kelihatan seperti Rusia
mempunyai kelebihan, bagaimanapun tindakan Putin dilihat sebagai tidak sah oleh
masyarakat antarabangsa dan Presiden Rusia itu semakin kehilangan sokongan
daripada rakyat negaranya sendiri.
Pada Selasa lalu, akhbar The
Moscow Times telah menerbitkan sebuah laporan bertajuk, Sasaran Dasar Putin
Tidak Jelas, Tetapi Semuanya Menyakiti Rakyat Rusia.
Dalam pada itu, Ukraine turut
mendakwa Moscow memainkan peranan dalam serangan udara pada Selasa lalu yang
mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang.
Tuduhan itu dikeluarkan sehari
sebelum pemimpin EU bertemu bagi membincangkan krisis antara dua negara
berkenaan. Mereka mempertimbangkan untuk melakukan sekatan baharu terhadap
Rusia.
“Ketua-ketua negara dan
kerajaan sekali lagi akan menilai keadaan yang berlaku dan jika perlu, satu
keputusan sesuai perlu diputuskan,” kata Pesuruhjaya Stefan Fuele kepada
Parlimen Eropah di Strasbourg.
Sementara itu, dalam
pertempuran sebelum ini yang berlarutan selama tiga bulan setengah dengan puak
pemisah di timur Rusia di mana penduduknya menggunakan bahasa Ukraine, pihak
berkuasa kerajaan memberitahu, mereka telah kehilangan enam tentera dalam
serangan berhampiran sempadan Rusia.
Jumlah tersebut telah
menyebabkan lebih 220 anggota perkhidmatan ketenteraan Ukraine terkorban sejak
pemberontakan meletus pada bulan April lalu.
Pada masa sama, beratus-ratus
orang awam dan pemberontak telah meninggal dunia.
Dalam kejadian pesawat
pengangkut tentera An-26 ditembak pada Isnin lalu pula, pihak berkuasa
perbandaran menyatakan bahawa sekurang-kurangnya empat orang terbunuh manakala
empat lagi tercedera dalam serangan itu yang berlaku di kawasan perumahan
Snizhne, 20 kilometer dari sempadan Rusia.
Seorang pemimpin puak pemisah
dipetik oleh agensi berita Interfax Rusia sebagai berkata, sejumlah 10 orang
telah terbunuh dalam serangan itu. Tambahnya, mereka yang terbunuh itu ialah
pekerja pesawat perang Ukraine.
PENDUDUK awam menerima bantuan
makanan daripada tentera Ukraine di Slaviansk selepas tercetus pertempuran
dengan puak pemisah pro-Rusia di Kampung Semyonovka, timur Ukraine.
Bagaimanapun, Kementerian Luar
dan Pegawai Tentera Ukraine berkata, tiada pesawat pejuang Ukraine yang telah
dibawa keluar sejak Isnin lalu memandangkan operasi mencari dan menyelamat
mangsa pesawat tentera An-26 dilancarkan.
“Kapal terbang yang tidak
dikenali telah melakukan serangan bom di Snizhne. Penerbangan tersebut boleh
digambarkan sebagai provokasi sinis,” kata jurucakap Pertahanan Negara dan
Majlis Keselamatan Ukraine, Andriy Lysenko.
Kenyataan yang dikeluarkan
Lysenko itu menjadi tuduhan terhadap Rusia sejak pemberontak tidak menggunakan
pesawat di dalam kawasan konflik.
Dakwaan terbaharu Kiev itu
berikutan wujud tuduhan pada Selasa lalu bahawa peluru perpandu yang menembak
jatuh An-26 mungkin dilancarkan dari wilayah Rusia.
Jurucakap Kementerian Luar
Ukraine, Vasyl Zvarich, juga bersetuju ada penglibatan Rusia dalam serangan di
Snizhne.
Justeru, Ukraine berharap
sekatan ke atas Rusia dilakukan ke tahap yang lebih tegas dan bukan sekadar
‘pengisytiharan’.
Sementara itu, Presiden AS,
Barack Obama memberi amaran bahawa akan lebih banyak sekatan dilakukan jika
Rusia tidak mengambil langkah-langkah konkrit dalam mengurangkan konflik di
Ukraine.
Katanya, Putin setakat ini juga
gagal untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk menyelesaikan
krisis itu secara aman.
“Kami telah menekankan
keutamaan kami untuk menyelesaikan isu ini secara diplomatik, namun kita perlu
melihat tindakan konkrit dan bukan hanya kata-kata dari Rusia yang kononnya
komited untuk cuba menamatkan konflik di kawasan sempadan Rusia-Ukraine,” tegasnya.
SUMBER-KOSMO ONLINE 19.7.14
No comments:
Post a Comment