Ad

Wednesday 23 July 2014

Istiadat paluan berundur akhiri Kem Majidee


 
RAJA Mohamed Affandi membalas tabik hormat semasa istiadat paluan berundur dan penutupan rasmi Kem Majidee baru-baru ini.

PENUTUPAN Kem Majidee berlangsung mengikut tradisi Tentera Darat menerusi istiadat paluan berundur atau retreat. Tradisi yang diwarisi daripada tentera negara-negara Komanwel dipercayai berasal pada era tentera Perancis kuno.

Pada masa itu, bugle atau tetuang ditiupkan bagi menandakan berakhirnya pertempuran pada waktu siang agar kedua-dua pasukan yang berperang kembali ke kem masing-masing.

Tradisi paluan berundur yang diamalkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada hari ini khusus pada istiadat tertentu seperti perpindahan sesebuah pasukan dari satu kem ke kem yang lain atau penutupan kem induk.

Tiupan tetuang mengalunkan lagu The Retreat berkumandang serentak dengan penurunan bendera semua pasukan yang secara simboliknya menandakan selesainya tugas-tugas atau perpindahan.

Uniknya istiadat ini, semua penonton tentera yang hadir memakai pakaian mess kit bersama songkok, dan bukannya pakaian istiadat.

Mess kit ialah pakaian rasmi yang kebiasaanya dipakai pada majlis makan malam beradat.

Istiadat paluan berundur penutupan Kem Majidee dimulakan dengan pertunjukan pancaragam gabungan RAMD yang memainkan lagu-lagu patriotik.

Ini disusuli persembahan pantomen berkisar sejarah Kem Majidee yang dilakonkan oleh anggota-anggota tentera termasuk babak penyerahan kem ini oleh tentera British kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Istiadat berakhir dengan penyerahan bendera pasukan 10 RAMD kepada pegawai memerintah dan teriakan gempur wira sebanyak tiga kali.

Hadir menyaksikan istiadat itu ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan.

SUMBER-KOSMO ONLINE 24.7.14

No comments:

Post a Comment