Ad

Friday 25 July 2014

Australia belasah Malaysia 4-0

 
PEMAIN Australia, Kate Jenner (kanan) mengasak pemain negara, Rabiatul Mohamed dalam aksi pembukaan Sukan Komanwel di Glasgow, semalam. - REUTERS
GLASGOW - Skuad hoki wanita negara berjaya mempamer peningkatan dalam permainan walaupun tewas 0-4 kepada pasukan No.2 dunia, Australia pada perlawanan pembukaan Sukan Komanwel, semalam.

Dalam aksi Kumpulan B di Stadium Hoki Nasional Glasgow itu, Jodie Kennie membuka jaringan Australia pada minit keenam menerusi pukulan sudut penalti.

Kellie White menggandakan kedudukan 2-0 menerusi gol padang pada minit ke-19 dan Georgina Parker memberi tekanan kepada skuad negara dengan jaringan ketiga, juga menerusi gol padang pada minit ke-29.

Pujian perlu diberikan kepada anak-anak buah jurulatih Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim apabila skuad negara yang berada di kedudukan ke-21 dunia memberi saingan sengit kepada Australia pada babak kedua perlawanan.

Namun Georgina memberi kedudukan selesa buat Australia dengan menambah jaringan keempat menerusi gol padang pada minit ke-48.

"Secara keseluruhan skuad negara mempamer perlawanan yang sengit walaupun kalah 0-4. Saya lihat prestasi mereka lebih baik daripada empat tahun lepas di New Delhi, India, yang mana kita tewas 0-8 kepada Australia.

"Pemain negara bukan lagi bermain secara bertahan tetapi mereka sudah boleh menembusi barisan pertahanan mereka," kata Mohd. Nasihin.

Menurutnya lagi, penyerang negara seperti Nurul Nabihah Mansur dan Rabiatul Adawiyah Mohamed perlu membuat perubahan taktikal untuk menghadapi pasukan tuan rumah, Scotland hari ini.

"Scotland juga merupakan pasukan yang hebat, mereka mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri. Saya berharap skuad negara dapat mengekalkan momentum aksi permainan seperti hari ini ataupun lebih baik lagi pada perlawanan seterusnya nanti," katanya. - BERNAMA

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140725/su_04/Australia-belasah-Malaysia-4-0#ixzz38Wjwr3Q4 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment