Ad

Thursday, 17 July 2014

Johor DT enggan dilabel pilihan

 
JOHOR DT tidak mahu dilabel sebagai pasukan pilihan pada kempen Piala Malaysia tahun ini walupun memegang status selaku juara Liga Super 2014.

Masih diselubungi kejayaan bersejarah menjuarai trofi liga bulan lalu, jurulatihnya, Bojan Hodak menyifatkan gelaran tersebut bukan satu jaminan buat Harimau Selatan untuk mendabik dada sepanjang kempen Piala Malaysia nanti.

Sebaliknya, jurulatih dari Croatia itu mahu para pemainnya mengekalkan semangat juang yang tinggi serta mentaliti kemenangan apabila turun beraksi dalam kempen trofi paling berprestij di Malaysia itu bermula 12 Ogos depan.

"Buat masa ini saya gembira kerana moral setiap pemain pasukan ini dalam keadaan baik rentetan hasil kejayaan menjuarai Liga Super bulan lepas.

"Namun, ia tidak bermakna kami turun sebagai pasukan pilihan, sebaliknya saya anggap semua pasukan masih ada peluang sama rata untuk menang.

"Saya telah beri amaran kepada pemain supaya jangan ambil mudah keupayaan pasukan lain,sebaliknya fokus kepada diri sendiri untuk teruskan momentum kemenangan" jelas Bojan ketika dihubungi semalam.

Dalam undian yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini, Johor DT bakal berdepan ranjau berduri apabila diletakkan dalam Kumpulan C bersama-sama bekas juara, Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan Liga Perdana, Pulau Pinang.

Justeru, Bojan yang pernah membawa Kelantan menjuarai gelaran trebel pada 2012, mengakui ranjau yang bakal menanti pasukannya sambil berharap pemainnya dapat menyerap segala tekanan yang dihadapi mereka daripada pasukan lawan mahupun daripada penyokong mereka sendiri.

"Bagi saya, tekanan kali ini tidak sama seperti sebelumnya. Kalau dulu pasukan ini diberi tekanan hebat kerana tidak memenangi sebarang kejuaraan dengan pelaburan yang besar, namun tahun ini kami telah pun berjaya mengatasinya dengan gelaran Liga Super.

"Oleh itu, saya yakin para pemain akan turun tanpa sebarang tekanan atau sasaran meskipun misi utama kami adalah untuk menang dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Dalam pada itu, saya juga tidak mahu pandang mudah pasukan Kelantan, ATM ataupun Pulau Pinang. Mereka semua ada kelebihan masing-masing dan begitu juga dengan kami," ujarnya lagi.

Sebagai persiapan, Johor DT telah seri 1-1 dalam aksi persahabatan dengan Kelantan Ahad lalu dan akan bertemu Johor DT II dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) minggu depan.

"Keputusan seri itu dikira sudah bagus kerana kami tidak berlatih langsung sebelum pertemuan tersebut. Ada lagi dua perlawanan persahabatan pada minggu depan dan ia akan diguna sebaik mungkin meskipun pemain tetap menjalani puasa seperti biasa," tambah Bojan.

No comments:

Post a Comment