MOHD. Zulhelmi Pisol (kiri)
meraikan kejayaan memenangi pingat perak bersama-sama pemenang emas, Sukhen Dey
(tengah) dan Ganesh Mali selepas majlis penyampaian hadiah untuk acara angkat
berat lelaki kelas 56kg, Sukan Komanwel, semalam. - AFP
GLASGOW - Atlet angkat berat,
Mohd. Zulhelmi Pisol membuat kejutan apabila muncul penyumbang pingat pertama
Malaysia pada Sukan Komanwel XX semalam.
Atlet pelapis berusia 21 tahun
itu meraih pingat perak bagi kategori 56 kilogram dengan angkatan 245kg di
Pusat Pameran dan Persidangan Scottish Precint di sini.
Atlet yang berasal dari Pulau
Pinang itu membuat angkatan snatch 108kg dan 137kg dalam clean and jerk. Dua
atlet dari India, Sukhen Dey dan Ganesh Mali, masing-masing meraih pingat emas
dan gangsa.
Sukhen melakukan angkatan 248kg
keseluruhan, iaitu 109kg dalam acara snatch manakala dalam clean and jerk
139kg. Ganesh pula mengangkat jumlah 244kg dengan angkatan snatch 111kg dan
clean and jerk 133kg.
Zulhelmi ketika ditemui
berkata, dia sangat teruja selepas berjaya meraih pingat pada penampilan
pertamanya di Sukan Komanwel.
"Saya masih baharu dalam
kejohanan besar seperti ini, jadi memang sudah menjangkakan saingan sengit
daripada atlet-atlet senior di sini.
"Namun saya masih tidak
berpuas hati dengan angkatan clean and jerk sebab saya pernah mengangkat 140kg
ketika berlatih," katanya.
Sementara itu Menteri Belia dan
Sukan, Khairy Jamaluddin memuji semangat dan kesungguhan atlet muda seperti
Zulhelmi yang tidak mudah putus asa untuk bersaing dengan barisan atlet berpengalaman
pada temasya berprestij itu.
"Pada awal angkatannya,
Zulhelmi ketinggalan, namun saya puji dia bersemangat untuk bangkit dan meraih
pingat buat negara.
"Saya juga percaya atlet
angkat berat yang lain mampu menyumbang pingat emas dalam saingan seterusnya
nanti," kata Khairy. - BERNAMA
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140726/su_02/Zulhelmi-sumbang-pingat-pertama-Malaysia#ixzz38WT6wdhM
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment