Ad

Wednesday 23 July 2014

Kelantan hampir ikat pemain Piala Dunia

 Oleh ROSMIZAN RESDI
utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU - Kelantan semakin hampir untuk mendapatkan khidmat pemain yang beraksi dalam Piala Dunia di Brazil baru-baru ini bagi memperkuatkan skuad The Red Warriors musim depan.

Bagaimanapun, Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa masih berteka teki mengenai pemain itu dan dari negara mana.

"Setakat ini, kami telah membuat perjanjian sementara dengan seorang bekas pemain kebangsaan sebuah negara dan juga seorang pemain yang bermain dalam Piala Dunia di Brazil baru-baru ini.

"Dua pemain lagi sedang dikenal pasti termasuk seorang penjaring terbanyak sebuah liga di Asia dan seorang ketua pasukan juara Liga Asia yang telah beraksi sebanyak 23 kali sebanyak empat musim," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Kok Lanas dekat sini semalam.

Annuar berkata, pihaknya juga kini sedang mengenal pasti beberapa pemain bertaraf antarabangsa dan telah menubuhkan sebuah pasukan khas yang akan ke Bangkok untuk membuat penilaian.

Katanya, KAFA akan memastikan setiap pemain import melepasi ujian kesihatan dan kecergasan yang lebih ketat sebelum menyarung jersi pasukan tersebut.

"Langkah tegas ini diambil sebagai persiapan awal selain untuk mengelakkan situasi yang berlaku kepada penyerang Ghana, Prince Tagoe sebelum ini berulang kembali.

"Berdasarkan pengalaman dengan Tagoe, kami mendapati KAFA juga perlu membuat pemeriksaan kecergasan yang lebih ketat, bukan hanya pemeriksaan kesihatan.

"Ini kerana ramai pemain antarabangsa yang mempunyai rekod bagus, tetapi kita tidak tahu yang dia sudah lama tidak ber­aksi atau tercedera. Jadi bila kita ikat perjanjian, dia pura-pura main dan cedera seterusnya kita kena bayar gaji, jadi kita nak elak," jelasnya.

Sementara itu, Annuar melalui akaun Facebooknya telah menyenaraikan antara pemain yang kekal dalam saingan musim 2015. Mereka ialah ketua pasukan, Mohd. Badri Radzi, Khairul Fahmi Che Mat, Zairul Fitree Ishak, Wan Zack Haikal Wan Noor, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd. Khairul Izuan Rosli.

Katanya, sehingga kini pihaknya sedang menyelesaikan kontrak 13 pemain utama selain beberapa proses rundingan masih berjalan.

"Kami ada menerima permintaan daripada beberapa bekas pemain utama yang telah berhijrah untuk kembali menyumbang bakti kepada TRW. Jadi kami mengalu-alukannya," katanya.

Annuar dalam pada itu turut memberi bayangan dua pemain kelahiran Kelantan akan menyertai TRW iaitu pemain skuad Harimau Muda A, Mohamad Syahrul Azwari Ibrahim dan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140721/su_06/Kelantan-hampir-ikat-pemain-Piala-Dunia#ixzz38IBEXFG7 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment