Ad

Wednesday 23 July 2014

Perang stesen TV sempena Aidilfitri

 
TEMU janji yang pasti tidak akan dilepaskan setiap kali berhimpun bersama sanak-saudara tercinta sempena kedatangan bulan Syawal.

Di samping meraikan kemuliaan bulan yang afdal dan sinonim dengan kelaziman bermaaf-maafan, menjamu selera dengan pelbagai juadah enak, stesen televisyen tempatan tidak ketinggalan menyiarkan pelbagai santapan menarik bermula hari terakhir Ramadan (Ahad, 27 Julai 2014) hingga minggu terakhir Syawal.

Menerapkan tema berbeza mengikut payung konglomerat setiap stesen televisyen tempatan, Aidilfitri tahun ini akan dirancakkan dengan lebih 37 buah telefilem, 70 buah filem dan 20 rancangan muzikal.

Ini Baru Raya! dipilih Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjadi tema sambutan Aidilfitri tahun ini. Tiga buah stesen TV RTM iaitu TV1, TV2 dan TVi bakal menyiarkan 14 buah telefilem menarik dan tujuh buah program muzikal raya.

Sementara itu, rangkaian TV Media Prima Berhad memilih Anugerah Syawal sebagai tema tahun ini. TV3 dan TV9 bakal menyiarkan 10 buah telefilem dan lapan buah program muzikal.

Dalam pada itu, bertemakan Kosong Kosong, Buka Lembaran Baru, Astro bakal menghidangkan lebih 21 buah telefilem khas Aidilfitri dan 32 program hiburan di bawah 13 buah saluran TV milik syarikat TV swasta itu.

TV Alhijrah pula mengangkat tema Kemuliaan Syawal untuk menghidangkan lebih 20 rancangan menarik sempena sambutan Aidilfitri tahun ini dalam pelbagai format termasuk program bual bicara, travelog, santapan rohani, masakan, telefilem dan rancangan muzikal.

Kosmo! menghimpunkan barisan rancangan menarik terdiri daripada telefilem, filem, drama, dokumentari, rancangan kanak-kanak dan program muzikal daripada setiap stesen TV popular tempatan.

Telefilem raya

Menjadi tradisi saban tahun apabila tibanya sambutan Aidilfitri, pelbagai telefilem menarik diterbitkan untuk siaran malam raya hingga minggu kedua Syawal.

Menarik tahun ini, TV3 menerbitkan telefilem kesinambungan daripada kejayaan beberapa buah drama rantaian stesen TV itu sepanjang tahun 2013 dan 2014 seperti Love You Mr. Arrogant dan Sebenarnya Saya Isteri Dia.

Sementara, saluran TV9 menarik minat penggemar budaya K-Pop untuk menyaksikan sebuah telefilem khas yang dibikin di Korea Selatan berjudul Kimchi Raya, membariskan pelakon berbakat besar Nad Zainal dan Syarul Ridzwan.

Astro pula mempertaruhkan wajah eksklusif baharu mereka, Zizan Razak sebagai daya penarik rancangan Syawal. Antaranya program Aaron Zizan Raya Seram Sejuk dan Hantu Selfie.

Dalam pada itu, RTM memilih pendekatan untuk menyiarkan seleksi menarik telefilem yang membuai jiwa dan menyentuh perasaan. Talkin Di Birai Katil, Kemaafan Yang Terindah dan Seligar antara pilihan terbaik yang disediakan.

SUMBER-KOSMO ONLINE 24.7.14

No comments:

Post a Comment