MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
18 Julai 2014
Status Mohamed Shawky (depan,
kiri) mula menjadi tanda tanya sementara Tagoe boleh mengucapkan selamat
tinggal setelah khidmatnya tidak diperlukan oleh Kelantan untuk musim depan . -
Foto: Khiru Shaleh Abdullah Status Mohamed Shawky (depan, kiri) mula menjadi
tanda tanya sementara Tagoe boleh mengucapkan selamat tinggal setelah
khidmatnya tidak diperlukan oleh Kelantan untuk musim depan . - Foto: Khiru
Shaleh Abdullah
KESUNGGUHAN The Red Warriors
untuk kembali menjadi pasukan yang disegani dalam saingan Liga Malaysia
(Liga-M) dibuktikan lebih awal apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa)
mengumumkan bakal memancing pemain tempatan dan import baharu untuk musim
depan.
Perkembangan terbaharu mengenai
persiapan pasukan bekas juara tiga piala musim 2012 itu, dinyatakan Penasihat
Kafa, Tan Sri Annuar Musa dalam laman Facebook miliknya semalam, apabila
membayangkan empat anak tempatan negeri itu akan dibawa masuk bagi
memperkuatkan pasukan tersebut.
Mereka merupakan dua pemain
kelahiran Kelantan yang mewakili skuad Harimau Muda A, selain dua bekas pemain
skuad gergasi Pantai Timur itu yang kini menabur bakti bersama pasukan lain
dalam saingan liga musim ini.
“Selain itu, kita juga akan
membawa masuk empat pemain import baharu bagi memperkuatkan pasukan Kelantan
mengharungi saingan Liga-M musim 2015.
“Insya-ALLAH, saya percaya The
Red Warriors akan menjadi salah satu pasukan pencabar utama dalam Liga-M musim
depan,” katanya.
Dua pemain Harimau Muda A yang
pasti berada dalam pemerhatian Kafa ketika ini ialah penyerang, Mohamad Syahrul
Azwari Ibrahim dan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir.
Pengumuman Annuar untuk
mendapatkan awang import baharu itu bagaimana pun mencetuskan tanda tanya
mengenai masa depan pemain tengah dari Mesir, Mohamed Shawky Aly dan Francis
Forkey Doe (Liberia) bersama Kelantan.
Sementara itu, kedudukan dua
lagi pemain import, Hussein Alaa Hussein Salman (Iraq) dan Prince Tagoe (Ghana)
yang hanya mengikat kontrak selama enam bulan, bukan lagi rahsia kerana hampir
pasti digugurkan oleh Kafa untuk musim depan.
Apa pun, langkah awal bekas
Presiden Kafa memancing pemain baharu itu dilihat satu usaha terbaik bagi
memulihkan reputasi skuad berkenaan yang tercalar gara-gara prestasi hambar
sepanjang musim ini.
Pada kempen Liga Super, Kelantan
sekadar menamatkan saingan di tangga keenam selain turut gagal mengekalkan
kejuaraan Piala FA setelah disingkir naib juara Liga Premier, Felda United FC
dalam peringkat separuh akhir.
Dalam perkembangan sama, Annuar
memberitahu, seramai 13 pemain yang masih mempunyai kontrak bersama Kelantan
akan terus kekal menyarung jersi pasukan berkenaan untuk musim depan.
Antara pemain yang kekal ialah
Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi, Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd Shahrul Azim
Ab Halim, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Wan Zack Haikal Wan Noor,
Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd Khairul Izuan Rosli.
“Beberapa lagi pemain dalam
proses rundingan untuk mengikat kontrak bersama Kelantan. Sekarang kita sudah
ada 19 pemain dan beberapa pemain lagi akan dibawa masuk,” katanya.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 18.7.14
No comments:
Post a Comment