Oleh Azlan Muhammad Zain
Kuala Lumpur: Sukan angkat
berat tidak pernah mengecewakan kontinjen negara di Sukan Komanwel sejak 16
tahun lalu apabila sentiasa menyumbangkan pingat emas.
Bermula dengan kejayaan Mohd
Hidayat Hamidon yang mengungguli kategori 69 kilogram pada edisi 1998,
kecemerlangan itu diteruskan Amirul Hamizan Ibrahim (2002), Mohd Faizal Baharom
(2006) dan empat tahun lalu Amirul Hamizan dan Arricco Jumitih menyumbang dua
emas buat kontinjen negara di New Delhi, India.Tradisi cemerlang itu mahu
diteruskan barisan badang negara yang terpilih ke Glasgow, Scotland dengan
sandaran utama kini terletak kepada pemenang pingat gangsa 2010, Mohd Hafifi
Mansor yang bersaing dalam kategori 69kg.
“Memang terdapat sedikit
tekanan apabila memikirkan tentang Sukan Komanwel nanti. Tumpuan pasti akan
terarah kepada saya kerana beberapa senior lain tidak ke Scotland namun ini
adalah asam garam bertanding. Siapa yang tidak mahu merangkul emas jika
berpeluang. Ini adalah penampilan kedua saya di Sukan Komanwel, jadi saya akan
buat yang terbaik.
MOHD Hafifi buat penampilan
kedua di Sukan Komanwel.
“Jurulatih baru dari Indonesia,
Lukman banyak membantu saya kali ini dengan meningkatkan prestasi sejak
menjalani latihan bersamanya pada awal tahun ini. Saya tidak mahu mensia-siakan
harapan yang disandarkan Majlis Sukan Negara (MSN) kerana Lukman hanya memberi
fokus kepada saya seorang saja. Saya akan memberikan aksi terbaik,” katanya.
Turut menjadi tumpuan kehadiran
semula pemenang pingat emas edisi 2006, Faizal yang bakal bersaing di Glasgow
dalam kategori 56kg selain beberapa atlet muda negara seperti Mohd Azril Uzairi
Ramli yang dilihat mampu melakar kejutan.
Mengenai ketiadaan Datuk Lee
Chong Wei, salah seorang prospek emas negara, Hafifi berkata, ia adalah sesuatu
yang mengejutkan kerana kebiasaannya pemain nombor satu dunia itu sentiasa
menyumbang emas kepada kontinjen negara.
“Ketiadaannya seperti
menjadikan kontinjen seperti tidak lengkap kerana dia adalah pemain bintang.
Namun sukan lain perlu mempamerkan kebangkitan bagi mengisi ketiadaannya,”
tambahnya.
Skuad angkat berat negara
menampilkan lapan atlet dalam kategori lelaki dan empat wanita dengan kontinjen
negara kali ini diketuai Presiden Persatuan Angkatan Berat Malaysia (PABM),
Datuk Ong Poh Eng meletakkan sasaran tujuh pingat emas di Glasgow.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : 2014/07/17
No comments:
Post a Comment