Ad

Tuesday 22 July 2014

Johor DT II tak tertekan


 

Johor DT II tak tertekan
Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my
JOHOR Darul Takzim (Johor DT) II lebih gemar dilabel sebagai pasukan underdog dalam kempen Piala Malaysia 2014 yang akan membuka tirainya bulan depan.

Dibayangi kehebatan pasukan Johor DT yang muncul juara Liga Super, pencapaian Johor DT II juga sebenarnya masih boleh dibanggakan selepas mereka berjaya merealisasikan sasaran layak ke saingan trofi paling berprestij di Malaysia ini.

Meskipun pasukan tangga kelima Liga Premier ini bukan berstatus pasukan pilihan, namun ketua jurulatihnya, Azmi Mohamed (gambar) tampil memberi amaran bahawa anak-anak buahnya masih mampu melakar kejutan jika pencabar yang lain memandang mudah keupayaan mereka di atas padang.

"Tiada tekanan ke atas pasukan kami kerana sasaran layak ke Piala Malaysia telah berjaya ditunaikan. Bagi saya ia satu bonus untuk kami beraksi dalam Piala Malaysia.

"Walaupun kami adalah pasukan berstatus underdog, saya tiada masalah mengenainya. Saya yakin para pemain akan cuba membuktikan sesuatu, paling kurang pun melepasi saingan peringkat kumpulan.

"Apa yang saya nampak dalam pasukan saya ini ialah kesungguhan dan semangat juang pemain untuk mencari kemenangan dalam setiap perlawanan, jadi saya rasa ia mampu menjadi senjata utama kami dalam mencipta kejutan ke atas pasukan lain," jelas Azmi kepada Kosmo! semalam.

Kekuatan Johor DT II kali ini pastinya banyak bergantung kepada gabungan kudrat pemain muda dan pengalaman pemain senior seperti Shahril Ishak dan Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak selain kualiti yang ada pada pemain import mereka, Jose Manuel Carrasco dan Nicolas Delmonte.

"Purata usia pemain pasukan ini ialah 23 tahun dan ditambah dengan pengalaman pemain senior seperti Shahril dan Zaquan serta kualiti pemain import Jose dan Nicolas, saya rasa kami boleh membuat kejutan.

"Malah seorang penyerang kami, Aznie (Taib) ketika ini sedang menjalani latihan bersama Johor DT, jadi saya rasa kami boleh menggunakan pengalamannya ini di jentera serangan nanti," tambah Azmi lagi.

Diletakkan dalam Kumpulan A bersama penyandang juara, Pahang, Lions XII dan Felda United, Azmi yang pernah beraksi buat pasukan Johor dan Negeri Sembilan ketika era 90-an, menyifatkan peluang pasukannya masih lagi terbuka untuk melepasi peringkat kumpulan.

"Kami dan Lions XII ada ramai pemain muda manakala Pahang serta Felda ada beberapa pemain senior. Kalau kami mampu menggunakan kelebihan ini ke atas mereka, saya rasa peluang mara ke suku akhir masih ada.


"Pemain muda ada kelebihan ke atas pemain yang telah berusia kerana mereka masih segar dan bertenaga, cepat pulih daripada kecederaan dan senang dibentuk dari awal," ujarnya.SUMBER-KOSMO ONLINE 22.7.14

No comments:

Post a Comment