FATEHAH membawa Jalur Gemilang
ketika mengetuai perbarisan kontinjen Malaysia di Celtic Park awal pagi
semalam.
GLASGOW - Seramai 6,500 atlet
dari 71 negara meratapi tragedi pesawat penerbangan Malaysia (MAS) MH17 sebaik
pembawa bendera kontinjen Malaysia, Fatehah Mustafa membawa Jalur Gemilang
separuh tiang dan anggota-anggota memakai lilitan lengan hitam di tangan kiri
pada majlis pembukaan Sukan Komanwel 2014 di Celtic Park awal pagi semalam.
Kejadian menyayatkan hati itu
menarik perhatian serius dari seluruh dunia yang mana upacara bertafakur selama
seminit dilakukan bagi memberikan penghormatan kepada mangsa-mangsa nahas MH17.
Tujuh atlet negara iaitu Ju Pha
Som Net (lumba basikal), Surizan Awang Noh dan Fatin Syafiqah Mohd. Sukri (hoki
wanita), Nur Fidrah Noh dan Fairoz Abd. Jabal (boling padang) dan Farizal
Ismail (ragbi) serta dua pegawai - pengurus pasukan ragbi, Mohamad Fahmy Abdul
Jalil dan Pegawai Media Malaysia, Fahmi Omar berpakaian seragam kru kabin MAS.
Manakala anggota kontinjen lain
berpakaian baru iaitu Wira Malaysia, baju kurung dan selendang bagi atlet
wanita dan baju Melayu berserta samping bagi atlet lelaki yang direka pereka
fesyen terkenal Malaysia, Melinda Looi.
Untuk edisi kali ini, kontinjen
negara diwakili seramai 269 orang atlet dan pegawai yang mana seramai 179 orang
atlet, 135 daripadanya adalah atlet elit, lima atlet pelapis, 30 atlet luar
program MSN dan sembilan atlet paralimpik.
Kontinjen Malaysia hanya akan
menyertai 14 daripada 17 jenis sukan yang merangkumi 130 acara iaitu 67 acara
lelaki, 55 acara wanita serta lapan acara sukan paralimpik.
Acara sukan yang akan disertai
Malaysia ialah akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton,
berbasikal, boling padang, gimnastik (artistik dan berirama), hoki, judo,
menembak, olahraga, ping-pong, ragbi, skuasy dan tinju.
Kejohanan selama 11 hari itu
akan mempertandingkan 17 acara sukan membabitkan lebih 6,000 atlet dari 71
negara sekali gus menjadikan acara sukan terbesar yang pernah dianjurkan
Scotland.
Scotland sebelum ini menjadi
tuan rumah Sukan Komanwel pada tahun 1970 dan 1986 di Edinburgh.
SUMBER-KOSMO ONLINE 25.7.14
No comments:
Post a Comment