Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
NORSHAHRUL Idlan Talaha antara
pemain yang kembali dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan.
KUALA LUMPUR - Sedikit kejutan
dalam senarai pemain yang dipanggil menyertai latihan sulung skuad Harimau
Malaya di bawah kendalian Dollah Salleh dengan Mohd. Muslim Ahmad, S. Chanturu,
R. Gopinathan dan Norshahrul Idlan Talaha kembali dipanggil bagi menghadapi
Tajikistan pada 8 Ogos ini.
Paling mencuri perhatian adalah
kedatangan semula Norshahrul selepas mencipta konflik dengan pengendali
sementara, Datuk Ong Kim Swee sebelum ini mengenai urusan umrahnya sehingga
jurulatih Harimau Muda A itu tidak lagi memanggilnya semasa perlawanan
persahabatan bertemu Filipina, 27 April lalu.
Sementara Muslim yang menyertai
PDRM pada musim ini kembali menemui rentaknya apabila kerap berada dalam
kesebelasan utama, sama seperti Chanturu, yang meledak enam gol bersama Sarawak
selepas pulih daripada kecederaan panjang, manakala Gopinathan begitu konsisten
sepanjang musim ini sehingga membantu Pahang menjuarai Piala FA.
Kehadiran mereka berempat
bermakna tiada tempat buat Razman Roslan, Ronny Harun, Junior Eldstal dan Bobby
Gonzalez yang tidak dipanggil oleh Dollah malah pemilihan bekas jurulatih PDRM
dan Pahang itu pada kali ini dilihat lebih menumpukan di bahagian serangan.
Seperti yang diperkatakan
sebelum ini, sekurang-kurangnya 70 peratus pemain lama dikekalkan memandangkan
masa semakin suntuk bagi menyiapkan pasukan berdepan Tajikistan ekoran latihan
skuad kebangsaan akan bermula pada 1 Ogos, seminggu sebelum perlawanan.
Di bahagian serangan, Safee
Sali masih mampu meraih kepercayaan walaupun jarang diturunkan dalam
kesebelasan utama JDT, selain Ahmad Fakri Saarani (Kelantan) dan Mohd. Nor
Farhan Mohamad(Terengganu) manakala beberapa nama yang cukup sinonim seperti S.
Kunanlan (Selangor), Safiq Rahim, Amri Yahyah(JDT), Mohd. Badhri Mohd. Radzi
(Kelantan), Baddrol Bakhtiar (Kedah), Hafiz Kamal dan Azamuddin Akil (Pahang)
akan mengemudi di kawasan tengah.
Kapten, Mohd. Aidil Zafuan
Abdul Razak terus memegang watak utama di bahagian pertahanan selain dibantu
tiga rakan sepasukan dari JDT, Mahalli Jasuli, Mohd. Fadhli Mohd. Shas dan
Asraruddin Putra Omar diikuti Bunyamin Umar (Selangor) serta Zubir Azmi
(Terengganu).
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140717/su_02/Muslim-Chanturu-Mat-Yo-kembali-tersenarai#ixzz37kJVI2oU
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment