Ad

Wednesday, 4 September 2013

'Memang saya kecewa, tapi jangan jadikan ia isu

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.m

KOTA BHARU - Perancang tengah Kelantan Mohd. Badhri Radzi berharap ketiadaan namanya dalam skuad Harimau Malaya pada aksi persahabatan bertemu China di Tianjin, 10 September ini tidak dijadikan sebagai isu.
"Saya fikir ketiadaan nama dalam skuad kebangsaan tidak perlu dijadikan isu, malah Piya menerima keputusan ini dengan hati terbuka," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, meskipun kecewa namanya tidak tersenarai namun dia menganggap itu bukan rezekinya untuk beraksi bersama skuad negara kali ini.
"Mungkin jurulatih mempunyai perancangan yang lebih baik untuk pasukan tanpa menyenaraikan saya. Saya yakin dan percaya rakan-rakan yang dipilih mampu menggalas tugas dengan baik pada pertemuan tersebut," ujarnya.
Akhbar tempatan kelmarin melaporkan, perancang tengah Kelantan itu tidak disenaraikan oleh jurulatih Datuk K. Rajagobal pada aksi persahabatan antarabangsa menentang China Selasa depan.
Piya sebelum ini pernah dipanggil untuk menyarung jersi Kebangsaan, namun terpaksa melupakan hasrat tersebut selepas mengalami kecederaan pangkal paha.
Kapten Kelantan berusia 31 tahun itu, bagaimana enggan memikirkan perkara tersebut sebaliknya mahu fokus membantu The Red Warriors dalam aksi Piala Malaysia musim ini.
Katanya, baki dua perlawanan yang bakal diharungi The Red Warriors selepas ini akan menentukan nasib pasukannya dalam saingan musim ini.
"Saya menjadikan perkara ini sebagai motivasi untuk bekerja dengan lebih keras seterusnya mendapatkan semula kepercayaan ketua jurulatih kebangsaan untuk memanggil saya bagi menyarung jersi negara.
"Harapan saya agar peluang tersebut akan tiba lagi selepas ini. Sebagai pemain, mereka pasti mempunyai impian untuk menyarung jersi Kebangsaan, begitu juga saya," jelasnya.


Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130903/su_04/Memang-saya-kecewa-tapi-jangan-jadikan-ia-isu#ixzz2duADU9YI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment