Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID
Kesan kemusnahan yang dilakukan
oleh pengganas komunis di sebuah estet di Sungai Siput Perak, pada 16 Jun 1948.
KOMUNIS adalah fahaman yang
memiliki beberapa prinsip atau ciri asas utama. Dari sudut perjuangan, ia
bersifat revolusioner di mana kaedah kekerasan (revolusi) menjadi pendekatan
utamanya. Dari sudut politik, ia bersifat kuku besi (autokratik) dan anti
demokrasi.
Dari sudut ekonomi pula,
komunis anti pemilikan individu dan menganggap semua kekayaan adalah milik
negara sepenuhnya. Manakala, dari sudut akidah, komunis adalah fahaman yang
bersifat atheism atau tidak mempercayai Tuhan.
Fahaman yang diasaskan oleh
Karl Marx (1818- 1883) ini menganggap realiti kehidupan dan budaya sebagai
wujud dialektika. Ia bermaksud sejarah masyarakat adalah manifestasi perjuangan
atau pertarungan kelas (class struggle). Asas perjuangan kelas yang tonjolkan
dalam teori Marx ini adalah disebabkan beliau mempercayai bahawa kehidupan
ditentukan sepenuhnya oleh material (benda).
Bertolak dari premis inilah
Marx menyatakan interaksi manusia adalah berasaskan kepada aktiviti ekonomi
(benda) semata-mata. Bagi Marx serta pendukungnya menganggap kesamaan ekonomi
(economy equality) adalah tujuan utama yang mesti dicapai dalam masyarakat. Ia
hanya boleh dicapai sekiranya ditegakkan kerajaan komunis.
Jelaslah bahawa akidah
komunisme adalah akidah kebendaan, iaitu sesuatu yang bercanggah dengan akidah
Islam yang menekankan aspek tauhid adalah asas kepada hakikat kehidupan
sebenar. Doktrin Marx tentang moral dan agama menyebut bahawa nasib manusia
sepenuhnya di tangannya sendiri, bukan di tangan Tuhan. Justeru, dalam ajaran
komunisme tidak ada konsep eskatologi atau kepercayaan kepada hari kemudian
(hari akhirat).
Komunis menganggap mereka yang
percaya kepada Tuhan adalah berada dalam khayalan dan ia tidak lebih sebagai
satu pelarian dan impian untuk lari daripada penderitaan hidup. Komunis
menganggap agama adalah candu bagi rakyat.
Seperti yang disebut awal
rencana ini bahawa Marx menggunakan teori pertentangan kelas (dialektika) di
mana dalam masyarakat wujud dua kelas utama iaitu bourjois (kaum kapitalis
yang berkuasa) dan proletar (golongan buruh) yang tertindas. Untuk
mengubahnya maka Marx menyeru kepada revolusi.
Di antara revolusi penting yang
mengangkat komunisme sebagai ideologi politik antarabangsa ialah Revolusi
Bolsheviks pimpinan Lenin pada 17 Oktober 1917.
Revolusi ini berjaya
menumbangkan kekaisaran Russia dan membunuh semua musuhnya termasuk kaum
beragama. Pada permulaan kebangkitan Bolshevik mereka mengajak kaum Muslimin di
Russia untuk bersama-sama menentang Tzar (raja) yang zalim. Mereka membuat
janji manis untuk membela nasib kaum Muslimin.
Untuk menawan hati umat Islam
di Russia ketika itu maka mereka turut menggunakan ayat-ayat al-Quran tentang
tanggungjawab menegakkan keadilan dan kesamarataan. Namun, setelah kaum
sosialis itu berjaya dan menubuhkan negara komunis di Russia maka mereka mula
merancang menindas dan menghapuskan umat Islam. Mereka mendesak kaum Muslimin untuk
memilih sama ada menjadi komunis atau dibunuh.
Pada Februari 1918, mereka
memusnahkan pemerintah Turkistan yang beragama Islam. Tindakan jahat mereka itu
mengorbankan 800,000 umat Islam. Apabila bangkit pemberontakan Bamachi di
kalangan orang Islam, maka komunis terus memerangi umat Islam selama 13 tahun
(1921-1934). Pada 1931 mereka berjaya menangkap dan membunuh pahlawan Islam
bernama Ibrahim Beg.
Hakikatnya, mereka ialah satu
kaum yang amat suka berdusta dan mengkhianati janji. Mereka juga berdusta dalam
soal pengagihan kekayaan.
Perjuangan mereka untuk
menegakkan keadilan ekonomi dengan meruntuhkan kapitalisme dan kerajaan bukan
komunis adalah pembohongan semata-mata. Benarkah mereka menentang kapitalisme
untuk menegakkan keadilan ekonomi?
Jawapannya tidak. Buktinya
mereka tidak pernah menentang secara serius konsep dan amalan riba yang
ditentang Islam. Malah, dalam realiti sejarahnya pemodal-pemodal dan penguasa
bank-bank antarabangsa yang kaya raya telah banyak membantu pergerakan sosialisme
yang menjadi asas kepada pembentukan kerajaan komunisme. Perlu difahami bahawa
masyarakat sosialis adalah tahap pertama sebelum masyarakat komunis sebenar
dibentuk.
Dalam Revolusi Bolshevik,
orang-orang kaya telah membiayai gerakan sosialisme yang kononnya untuk
merampas harta kekayaan pemodal-pemodal yang menindas tetapi apa yang berlaku
ialah mereka akhirnya menjadi orang yang menguasai kekayaan di bawah sistem
komunis. Di mana-mana negara komunis, golongan yang hidup mewah dan penuh
kesenangan ialah golongan pemimpinnya.
Di tanah air kita, Parti
Komunis Malaya (PKM) yang ditubuhkan pada 1930 atas arahan Komunis Antarabangsa
(Comintern) telah melakukan revolusi bersenjata menentang penubuhan Persekutuan
Tanah Melayu (1948). Perjuangan bersenjata mereka itu menyebabkan negara
diisytiharkan darurat (1948-1960).
Bentuk penentangan yang
dilakukan komunis melalui serangan hendap serta menggunakan kaedah perangkap
samar telah mengorbankan banyak nyawa dan kecederaan serta kecacatan kekal di
kalangan anggota keselamatan dan orang awam. Penduduk yang tinggal berhampiran
kawasan hutan dan di estet seluruh negara berdepan dengan ancaman nyawa, harta
benda dan tanaman mereka dimusnahkan.
Tidak sedikit penderitaan,
kesedihan, ketakutan dan trauma yang dialami rakyat akibat kekejaman komunis
itu. Seramai 1,883 anggota keselamatan terkorban dan 2,560 cedera. Di kalangan
orang awam pula, sebanyak 2,473 terbunuh , 1,385 cedera dan 810 ditawan
komunis. Kematian pihak gerila komunis adalah 6,710 dan yang ditawan seramai
3,989 orang (Manja Mohd. Ludin, 1990).
Sebenarnya terlalu banyak
kekejaman dan kejahatan yang dilakukan komunis di tanah air kita yang
membabitkan anggota keselamatan dan orang awam yang tidak berdosa. Di antaranya
ialah:
* Pada 13 Disember 1948 pengganas
komunis membakar bangunan anak-anak yatim di Serendah, Selangor membunuh
seorang pengawas di rumah kebajikan itu.
* Pada 5 Julai 1949 pengganas
komunis melemparkan sebutir bom ke arah orang ramai yang sedang menyaksikan
pertunjukan sarkas di Kampar, Perak. Empat orang terbunuh dan 46 orang cedera
termasuk kanak-kanak dan wanita sedang mengandung.
* Pada 12 Ogos 1949 pengganas
memasuki rumah para buruh di Ladang Jany, Selangor dan merompak wang tunai dan
barang-barang kemas. Sebenarnya terlalu banyak tindakan komunis menceroboh,
merompak dan membakar rumah pekerja.
* Pada 21 Sept 1949 pengganas
komunis di daerah Plentong, Johor Bahru melemparkan seorang kanak-kanak berusia
lapan tahun ke dalam api yang sedang marak menyala. Komunis turut membunuh kaum
keluarga kanak-kanak malang itu.
* Pada 4 Februari 1950
pengganas komunis membakar kampung di Simpang Tiga, Perak mengakibatkan 1,000
orang kehilangan rumah.
* Pada 23 Februari 1950 Komunis
menyerang Balai Polis Bukit Kepong, di Hulu Sungai Muar secara serangan hendap
menyebabkan 25 jiwa terkorban (19 orang anggota polis, 2 orang isteri dan 2
anak anggota polis serta orang awam).
* Pada 27 Februari 1951
serangan bom tangan di panggung wayang Wah Lok, Sungai Siput mengakibatkan tiga
orang mati dan 13 cedera.
* Pada 7 Oktober 1951
Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Henry Lovell Goldsworthy Gurney
mati ditembak dalam serangan hendap oleh pengganas komunis di Batu 56 œ, Jalan
Kuala Kubu Bharu (Bukit Fraser).
* Pada 21 Februari 1952, sebuah
kenderaan polis diserang hendap di kawasan Taiping, Perak. Lima anggota polis
cedera parah.
* Pada 18 Oktober 1954, Balai
Polis Chua Seng di Pontian, Johor musnah dibakar komunis. Empat anggota polis
terkorban dan tujuh lagi cedera parah.
* Pada 9 Mac 1955, empat orang
asli dibunuh oleh pengganas komunis di Sungai Landor, Ipoh.
* Pada 7 Jun 1974 komunis
menembak mati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim di Kuala Lumpur.
* Pada 26 Ogos 1975 Tugu Negara
dibom komunis. Kejadian pada jam 5 pagi itu telah memusnahkan satu patung besar
serta dua kepala patung.
* Pada 13 November 1975,
Komunis menembak mati Ketua Polis Negeri Perak Tan Sri Khoo Chong Kong di Ipoh.
Daripada kronologi peristiwa
kedurjanaan komunis itu menunjukkan bahawa walaupun negara telah diberi
kemerdekaan oleh British, tetapi mereka tetap melakukan onar di sekitar 1960an
dan 1970an. Jika benar mereka berjuang untuk kemerdekaan, sepatutnya mereka
memberhentikan segala kejahatan dan membubarkan perjuangan mereka.
Namun, oleh kerana mereka
bercita-cita untuk menubuhkan kerajaan komunis di negara ini maka mereka tetap
meneruskan keganasan mereka.
Apa pun kita bersyukur kerana
segala rancangan jahat mereka berjaya disekat oleh kerajaan dengan menggunakan
Akta Darurat 1948. Komunis meletakkan senjata selepas diadakan Majlis
Perjanjian Damai di antara Kerajaan Malaysia dan PKM di Haadyai, Thailand pada
1 Disember 1989. Namun, Chin Peng (Ong Boon Hwa) dalam bukunya My Side Story
tetap menyatakan kebanggaannya terhadap ideologi tersebut.
Yang menyedihkan kita ialah
hari ini terdapat di kalangan pemimpin Pas sendiri mula menimbulkan keraguan di
kalangan rakyat dengan mengangkat tokoh-tokoh yang berpakat atau menggabungkan
perjuangannya dengan komunis sebagai hero. Sepatutnya analisis sejarah kita
harus melihat perkara pokok yang lebih besar, iaitu impak perjuangan komunis
terhadap tanah air sekiranya PKM berjaya dalam perjuangan bersenjata mereka.
Cuba kita bayang dan fikirkan
seandainya perjuangan komunis di Tanah Melayu itu berjaya, maka kita sebenarnya
akan dikuasai dan dijajah oleh ideologi komunis yang anti agama dan anti
demokrasi. Saya yakin, keadaan yang serupa akan berlaku seperti mana yang
berlaku di Russia selepas Revolusi Bolshevik. Aktivis -aktivis kiri Melayu yang
mendukung atau berpakat dengan komunis itu pasti akan diperdayakan seperti mana
komunis memperdayakan umat Islam di Russia.
Kesimpulan, perjuangan PKM
bukanlah satu sumbangan kemerdekaan tanah air kerana tujuan mereka adalah
menubuhkan Republik Komunis Tanah Melayu. Orang Melayu dan bukan Melayu yang
waras harus sedar bahawa ia pada hakikatnya merupakan satu bentuk penjajahan
baru yang tidak dapat diterima sama sekali.
PENULIS ialah ketua Unit
Penerbitan
di Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa),
Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan
SUMBER:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0913&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz2s5YvbU15
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment