KUALA SELANGOR - Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) digesa menjawab
desakan ahli-ahli supaya laporan kewangan badan induk sukan itu diaudit oleh
Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Bekas pemain sepak takraw negara, Mohd. Futra Abdul Ghani berkata, PSM
seharusnya tidak berdiam diri terhadap gesaan berkenaan sebaliknya badan
berkenaan perlu memberi penjelasan kepada rakyat khususnya peminat sepak takraw
di negara ini mengenai bagaimana peruntukan yang disalurkan kepada badan induk
itu dibelanjakan.
"Berani kerana benar, takut kerana salah. Jangan biarkan rakyat
tertunggu-tunggu kerana mereka mahukan jawapan yang telus daripada PSM mengenai
isu ini.
"Mereka ingin tahu ke mana wang yang diperuntukkan itu disalurkan,
sama ada digunakan bagi pembangunan sepak takraw ataupun tidak," kata
bekas apit kanan itu kepada pemberita sempena Jelajah Jom Bangkit Bekas Pemain
Sepak Takraw Malaysia siri enam di Puncak Alam Fasa 2, di sini semalam.
Hadir sama, bekas kapten pasukan sepak takraw kebangsaan era 90-an, Shaari
Hashim dan Presiden Kelab Sukan, Rekreasi dan Kebajikan Bekas Pemain Sepak
Takraw Malaysia (KRKBPSTM), Rommi Suhendra Norsal.
Mohd. Futra turut menggesa presiden-presiden sepak takraw negeri supaya
bangkit dan memilih presiden PSM yang baharu dalam mesyuarat agung tahunan
(AGM) yang akan diadakan tidak lama lagi.
"Presiden sepak takraw negeri-negeri perlu sedar dan memilih presiden
yang benar-benar sayang dan komited untuk menaikkan semula imej sukan
ini," tegasnya.
Sementara itu Rommi Suhendra berkata, pihaknya tidak menolak akan membawa
isu ini secara terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jika PSM
masih lagi berdiam diri.
"Kami mewakili bekas pemain sepak takraw dan peminat sepak takraw di
negara ini akan menyuarakan pandangan kami kepada Perdana Menteri kerana
tindakan PSM seolah-olah ingin melupuskan sepak takraw yang selama ini menjadi
identiti sukan Melayu dan kebangsaan," katanya.
Dalam perkembangan lain, pemain yang pernah terlibat dalam pembangunan
skuad pelapis kebangsaan, Mohd. Hazli Razali berkata, pembangunan sepak takraw
di negara ini dilihat semakin merudum tahun demi tahun.
"Contohnya, sekitar tahun 2005-2006, terdapat kem latihan yang
diwujudkan untuk skuad pelapis di Pulau Pinang namun secara tiba-tiba, program
itu dibubarkan dan selepas itu tiada lagi kem sebegitu dijalankan,"
ujarnya.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140209/su_08/Bekas-pemain-gesa-PSM-jawab-kritikan#ixzz2slsHbA00
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment