Ad

Friday, 14 February 2014

Biar FAM uruskan - Tengku Abdullah

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
 KUALA LUMPUR - "Jangan main-main dengan al-Quran".

Itu pesan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung tindakan T-Team dan pemainnya Muhammad Irfan Ghani yang bersumpah menggunakan al-Quran, rentetan daripada pergaduhan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Johor Bahru pada 1 Februari lalu.

Katanya, kepercayaan seharusnya diberikan kepada FAM untuk melaksanakan siasatan dan mengambil tindakan terhadap insiden itu.

Kelmarin, penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar dan seorang pemainnya Khairan Izuan Razali bersumpah dengan al-Quran bagi membuktikan kebenaran berhubung insiden itu.

Semalam pula, pemain T-Team, Muhammad Irfan yang sebelum ini memberikan kenyataan bertentangan dengan pasukannya, turut melakukan perkara sama.

Tengku Abdullah menegaskan, biarlah FAM menjalankan tugas dalam melakukan siasatan berhubung pergaduhan yang berlaku sewaktu masa rehat perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan T-Team itu.

"Janganlah sampai sumpah-sumpah dan jangan main-main dengan al-Quran.

"FAM akan buat keputusan nanti dan terpulang kepada pihak terlibat," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), di sini semalam.

Pada 1 Februari lalu, T-Team mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan Piala FA menentang JDT selepas mendakwa pemainnya dikasari oleh pegawai tertinggi JDT di dalam terowong.

Sementara itu, Tengku Abdullah turut memberitahu tugas menangani samseng dalam kalangan penyokong bola sepak tidak boleh diletakkan seratus peratus kepada FAM sahaja.

Malah Tengku Abdullah mengakui tiada persatuan sukan di dunia ini yang mampu menangani masalah tersebut secara bersendirian.

"Mereka (penyokong) perlu ingat jika mahu jadi samseng ini akan melibatkan undang-undang dan janganlah sampai membuat perkara yang melanggar undang-undang.

"Saya nasihatkan mereka ini jangan buat kecoh kerana kita datang ke stadium untuk menyaksikan perlawanan dan menang atau kalah itu adalah adat dalam perlawanan bola sepak," katanya.
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140212/su_02/Biar-FAM-uruskan---Tengku-Abdullah#ixzz2tHnKp9iS © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment