“Nampaknya debu Gunung Kelud
yang meletus kali ini lebih teruk daripada letusan Gunung Merapi pada 2010,”
kata pemandu kami, Supoyo Widji, 55, di sini, semalam.
Ketika itu jam 5.30 pagi dan
kami sepatutnya bertolak dari hotel penginapan kira-kira 10 kilometer dari
bandar Malioboro menuju ke Gunung Lawu di mana terdapat Candi Ceko dan Sukuh
serta Gunung Kelud yang menempatkan Candi Penataran.
Ia sebahagian Program Ekspedisi
al-Quran yang disertai penulis bersama Pengasas Kuliah Islamiah Wa Tarbiatul
Banat (KITAB) Abd Raof Ismail bertujuan melihat perkaitan Candi Borobudur
sebagai warisan peninggalan Nabi Sulaiman.
Bagaimanapun, perancangan itu
terbatal apabila Gunung Kelud yang mula memuntahkan debu sejak beberapa minggu
lalu meletus kira-kira jam 11 malam kelmarin.
Akibatnya, saluran televisyen
tempatan melaporkan sehingga jam 5 petang semalam, kira-kira 100,000 penduduk
dari puluhan kampung dalam kawasan 10 kilometer sekitar Gunung Kelud, sudah
dipindahkan ke 172 pusat pemindahan.
Supoyo berkata, letusan debu
Gunung Kelud disifatkannya lebih teruk berbanding letusan Gunung Merapi lima
tahun lalu kerana jarak penglihatan kini lebih terhad iaitu antara lima hingga
10 meter saja.
DEBU tebal menyebabkan jarak
penglihatan semakin terhad.
“Jarak antara bandar ini
(Jogjakarta) dengan Gunung Kelud sebenarnya agak jauh iaitu mencecah 300
kilometer (KM) tapi jarak dengan Gunung Merapi tak sampai 50km.
“Bagaimanapun, kesan debu kali
ini lebih teruk. Saya cuma berdoa semoga kesukaran ini tidak berlarutan
sehingga dua ke tiga bulan seperti ketika Merapi meletus dulu,” katanya.
Menurutnya, kehidupan penduduk
kini amat terganggu kerana pintu dan tingkap rumah langsung tidak boleh dibuka.
“Saya tidur tengah hari tadi
tak sampai 15 minit kerana terbangun apabila muka saya diliputi debu biarpun
pintu dan tingkap rumah sudah saya tutup rapat,” katanya ketika datang
menjemput penulis di sebelah petang.Supoyo berkata, sepanjang
pengetahuannya kali terakhir Gunung Kelud meletus ialah pada 1921 dan mengorbankan
lebih 5,000 penduduk tempatan.
Penuntut universiti, Febrianto
Tri Aji, 28, juga sependapat dengan Supoyo mengenai kesan letupan Gunung Kelud
yang dianggap lebih teruk berbanding letusan Merapi pada 2010.Menurutnya, ketika Kelud yang
tingginya 1,700 meter dari aras laut meletup kira-kira jam 11 malam kelmarin,
debunya meletus hingga hampir tiga kilometer ke udara.
“Saya diberitahu bunyi letupan
Kelud kedengaran sehingga ke bandar Solo yang sejauh lebih 200km daripada
gunung itu,” katanya.Media tempatan semalam
melaporkan tiga kematian dicatatkan akibat letupan Gunung Kelud, namun Presiden
Susilo Bambang Yudoyono dalam ucapan di televisyen jam 5 petang semalam
berkata, belum ada kematian dicatatkan.Sementara itu, tinjauan penulis ke
sekitar bandar ini dan Malioboro mendapati keadaan benar-benar berubah apabila
debu setebal 1 hingga 2 sentimeter menyeliputi permukaan jalan dan bangunan.
Partikal debu gunung yang turun
seperti salji hingga mengganggu pernafasan dan penglihatan menyebabkan pihak
berkuasa mengarahkan semua sekolah dan pejabat ditutup, begitu juga dengan
lapangan terbang.Pemanduan dengan jarak penglihatan yang ada ketikanya terbatas
sekadar tiga hingga lima meter satu pengalaman yang luar biasa dan Supoyo hanya
memandu pada kelajuan 20 kilometer sejam.Deretan kedai di bandar Malioboro yang
kebiasaannya menjadi tumpuan pelancong ditutup dan keadaan jalan raya kurang
sesak.
MYMETRO ONLINE 15.2.14
No comments:
Post a Comment