JOHOR BAHRU - Perlawanan suku akhir pertama Piala FA antara Johor Darul
Ta'zim (JDT) dan Kedah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semalam berakhir
tanpa pergaduhan, namun tetap tercemar apabila pengadil perlawanan melayangkan
tiga kad merah dalam aksi yang berkesudahan tuan rumah menang 3-1.
Kelebihan dua gol itu memberikan skuad bimbingan jurulatih dari Sepanyol,
Cesar Ferrando Jiminez dalam kedudukan selesa ketika berkunjung ke Stadium
Darul Aman untuk aksi suku akhir kedua pada 18 Februari nanti.
Dalam perlawanan semalam, separuh masa pertama bermula rancak dengan
kedua-dua pasukan saling mengasak menerusi percubaan demi percubaan dengan gol
pertama JDT hadir menerusi bekas pemain Selangor, Amri Yahyah pada minit ke-14.
Tujuh minit kemudian gol kedua tuan rumah menyusul apabila pemain
pertahanan, Mahalli Jasuli membuat hantaran sempurna untuk memudahkan bekas
pemain Lions XII, Harris Harun menolak masuk.
Kedah yang tersentak dengan dua jaringan awal itu menggandakan usaha mereka
dan pada minit ke-23 penyerang dari Ireland, Billy Osman Mehmet menghasilkan
gol cantik apabila membuat sepakan lambung yang melepasi jangkauan penjaga gol
JDT, Izham Tarmizi Roslan.
JDT kehilangan khidmat pemain pertahanan, Muhd. Fazly Mazlan pada minit
ke-71 apabila dilayangkan kad merah setelah membuat terjahan keras ke atas
Mohd. Khyril Muhymeen dan kesempatan itu hampir membolehkan anak-anak buah
David Mitchell meraih gol penyamaan pada minit ke-73 menerusi kapten, Baddrol
Bakhtiar namun sepakan bebas yang diambilnya sekadar menggegarkan gawang gol.
Kekecewaan skuad Lang Merah bertambah apabila mereka pula kehilangan dua
pemain selepas Baddrol dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-75 dan Mohd.
Syazwan Zainon pada minit-83.
Ggol ketiga JDT hadir menerusi penyerang dari Argentina, Luciano Figueroa
yang menanduk masuk hantaran Mahali ketika permainan memasuki masa kecederaan.
Sementara itu, Felda United gagal mengambil kesempatan beraksi di kandang
sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Sarawak di Stadium Majlis
Perbandaran Selayang.
Sumber,Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140212/su_05/JDT-menang-selesa-ketika-3-pemain-dibuang-padang#ixzz2t3XSWukP
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment