Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
HAMIDIN (kiri) memberi jaminan
pihaknya akan memanggil TMJ jika perlu bagi membantu memberi keterangan
berhubung insiden kekecohan dalam terowong menuju ke bilik persalinan di
Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru pada Sabtu lalu.
MISTERI insiden 'panas' yang
didakwa tercetus dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain di Stadium
Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru ketika pertembungan Johor Darul
Takzim (Johor DT) dan T-Team dalam aksi pusingan kedua Piala FA pada Sabtu lalu
masih belum terungkai.
Namun, Setiausaha Agung
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin memberikan
jaminan pihaknya tidak akan berkompromi dalam menyiasat insiden berkenaan
dengan lebih terperinci selepas ini.
Menurut beliau, pihaknya juga akan
mengadakan pertemuan bersama pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor
(PBNJ) termasuk Presiden PBNJ itu yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) bagi
mendapatkan gambaran sebenar berhubung insiden berkenaan.
"FAM akan melihat segala
bukti (berkaitan insiden itu) minggu depan.
"Ingin saya tegaskan di
sini, pihak kami tidak akan sesekali berkompromi.
"Jadi, kami akan panggil
dan jumpa TMJ jika perlu," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana
Jaya semalam.
Pengerusi Jawatankuasa
Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah (gambar) pula
berkata, kes itu kini dikendalikan pihak Sekretariat FAM untuk siasatan lanjut.
Jika ada kes, katanya, ia akan
dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan Datuk Taufek Abdul
Razak dalam masa terdekat.
"Sekretariat akan
meneruskan siasatan lanjut terhadap apa yang didakwa berlaku dalam terowong
berkenaan," jelas Afandi.
Dalam insiden di Larkin itu,
pemain import The Titans, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan, Stefano
Impagliazzo didakwa dikasari ketika menuju ke bilik persalinan stadium
berkenaan.
Ketika itu, kedudukan semasa
memihak kepada skuad Harimau Selatan yang sedang mendahului perlawanan 2-1.
Gara-gara bimbang dengan
keselamatan, pasukan T-Team yang berstatus kelab itu telah mengambil keputusan
untuk tidak meneruskan perlawanan babak kedua.
Malah, kedua-dua pasukan juga
telah membuat laporan polis berhubung insiden yang berlaku dalam terowong stadium
berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri
Khalid Abu Bakar juga mengesahkan siasatan berhubung insiden itu akan dibuat
secara profesional tanpa mengira individu yang berada di belakang kedua-dua
pasukan berkenaan.
Berhubung insiden itu yang kini
berada di bawah siasatan polis, jelas Afandi, FAM tetap akan meneruskan
siasatan mengikut bidang kuasa yang dimiliki badan induk berkenaan.
"Kami serahkan kepada
polis untuk siasatan, tetapi pihak sekretariat tetap akan teruskan siasatan
mengikut bidang kuasa yang kami ada.
"Jika ada kes, ia akan
dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib.
"Jadi, sekretariat akan
teruskan siasatan terlebih dahulu yang dijangka selesai dalam masa
terdekat," katanya.
sumber:KOSMO ONLINE 7.2.14
No comments:
Post a Comment