Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR - Segelintir penyokong dan juga ultras di
beberapa negeri tidak bersetuju dengan pekeliling terbaharu dikeluarkan oleh
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang melarang mereka membawa tiang atau
objek keras ke dalam stadium untuk mengikat bendera, dan Menteri Belia dan
Sukan, Khairy Jamaluddin meminta badan induk tersebut mengkaji semula arahan
itu.
Menurut Khairy, beliau memahami perasaan dan kehendak
penyokong yang ingin membawa kayu atau tiang untuk mengibarkan bendera pasukan
masing-masing.
Sehubungan itu beliau meminta FAM menilai kembali
peraturan tersebut seperti amalan di peringkat antarabangsa.
"FAM perlu melihat perkara ini berdasarkan
undang-undang antarabangsa. Jika betul kayu itu boleh menjadi senjata maka
(larangan) perlu dipatuhi oleh peminat bola sepak tempatan," katanya
ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
FAM mengeluarkan pekeliling tersebut Selasa lalu dengan
memohon persatuan bola sepak negeri dan kelab bekerjasama dengan pihak
keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Simpanan Persekutuan
(FRU) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) bagi memastikan penyokong pasukan
tidak membawa barang dilarang.
Ujar Khairy, FAM perlu melihat kembali perkara tersebut
selepas menerima banyak respons di media sosial yang meminta agar tiang, kayu
atau sebarang objek keras dibenarkan kerana digunakan untuk mengikat bendera
pasukan yang disokong.
"Saya hanya meminta FAM mengkaji perkara ini
berdasarkan peraturan dan norma antarabangsa, sama ada benda ini mempunyai
risiko untuk dijadikan sebagai senjata. Mereka perlu memahami permintaan
penyokong," katanya.
Beliau juga meminta agar FAM mengambil tindakan dengan
cepat tentang isu samseng bola sepak agar tidak merebak sehingga mengancam
keselamatan serta mengganggu penyokong lain.
"Samseng bola sepak bukan perkara baharu, sebelum
ini pun memang ada sebilangan kecil kumpulan penyokong yang ganas, tetapi tidak
sampai ke tahap mengganggu penyokong lain dengan menggunakan kekerasan seperti
mana yang kita dapat lihat beberapa minggu lepas.
"Saya sudah membangkitkan perkara ini kepada
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, agar perlawanan bola sepak
tidak menjadi persekitaran yang bahaya kepada anak-anak kecil, saya tidak mahu
mereka merasakan diri mereka berada dalam keadaan bahaya sebab pergaduhan
tercetus," katanya.
Tambahnya, FAM perlu menangani isu samseng bola sepak ini
dengan tegas seperti dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak England pada era 80-an
dan 90-an apabila mereka bekerjasama dengan pihak polis dan stadium.
SUMBER:Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140214/su_01/Khairy-minta-kaji-larangan-bawa-kayu-bendera#ixzz2tHjwveeU
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment