Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my
Kiri Nazmi Faiz, Badhri Radzi, Bobby Gonzales
KUALA LUMPUR - Tiga muka baharu dipanggil untuk menyertai
skuad Harimau Malaya bagi pertemuan persahabatan antarabangsa menentang
Filipina Mac ini.
Mereka ialah dua pemain Pahang iaitu Mohd. Hafiz Kamal
dan Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid serta Bobby Gonzales dari PDRM.
Turut berada dalam senarai 25 pemain itu ialah Baddrol
Bakhtiar dari Kedah, Mohd. Badhri Radzi (Kelantan) dan Muhammad Nazmi Faiz
Mansor (PKNS).
Pengendali sementara skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim
Swee memberitahu, Mohd. Khairul Azhan dan Badrol dipilih kerana mereka
mempamerkan prestasi cemerlang dalam kempen liga musim ini.
"Badrol ada kelebihan tersendiri kerana dia mampu
beraksi dalam banyak posisi dan itu merupakan satu kelebihan meskipun dia
beraksi dalam Liga Perdana. Khairul juga menunjukkan peningkatan yang sangat
baik.
"Saya akan cuba melakukan beberapa kombinasi di
beberapa bahagian posisi bagi mencari keserasian dan kita akan lihat hasilnya
sebelum memilih senarai 20 pemain untuk dibawa ke UAE (Amiriah Arab Bersatu)
bagi perlawanan menentang Yemen bagi kelayakan Piala Asia 2015," katanya
kepada pemberita di sini semalam.
Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan majoriti yang
dipanggil ke dalam senarai awal itu iaitu Safee Sali, Mahalli Jasuli, Amri
Yahyah, Aidil Zafuan Abd. Razak, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, Shakir
Shaari, Fadhli Shas dan Nazrin Nawi.
Tiga pemain Selangor, Farizal Marlias, S. Kunalan dan
Bunyamin Umar selain Azamuddin Akil serta Razman Roslan dari Pahang turut
disenaraikan bersama dua pemain Kelantan, penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat dan
Ahmad Fakhri Saarani.
Tiga lagi pemain yang melengkapkan skuad Kim Swee ialah
Muhammad Zubir Azmi (Terengganu), Putera Nadher Amarhan Maderner (Sarawak) dan
Amiridzwan Taj Tajudin (ATM).
Kim Swee memberitahu, pemilihan Norshahrul dan Safee
dibuat selepas melihat prestasi mereka berada pada tahap yang baik dan
kedua-dua pemain itu masih memiliki sentuhan berbisa.
"Difahamkan Mat Yo (Norshahrul) mengalami kecederaan
tetapi selepas saya lihat dia bermain di Johor, tahap kecergasan dia baik dan
sentuhan masih berbisa sama seperti Safee, atas sebab itu kedua-dua mereka
dipanggil menyertai pasukan ini.
"Ini merupakan barisan terbaik kerana pemain yang
dipilih memiliki pengalaman yang luas dalam arena bola sepak antarabangsa dan
kapten pasukan hanya akan dinamakan selepas mereka lapor diri untuk menjalani
latihan sebelum perlawanan menentang Filipina dengan mengambil kira beberapa
faktor," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pemain Kelantan dan
Selangor yang terlibat dengan perlawanan di peringkat Asia akan diberikan
pelepasan untuk menyertai pasukan masing-masing sebelum menyertai semula skuad
kebangsaan.
SUMBER:Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140213/su_01/Kim-Swee-panggil-3-muka-baharu#ixzz2tI83tTrG
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment