Ad

Thursday, 13 February 2014

Menang bukan kerana 4-4-2: Darby

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
13 Februari 2014
Menang bukan kerana 4-4-2: Darby
Menang bukan kerana 4-4-2: Darby Mohd Badhri Radzi atau Piya beraksi cemerlang dengan menjaringkan gol pertama pasukan Kelantan melalui sepakan percuma yang diambilnya pada minit ke-3.
PENGENDALI The Red Warriors, Steve Darby tidak menganggap kemenangan 3-2 ke atas PKNS FC pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Kota Bharu, malam kelmarin berpunca daripada perubahan formasi yang dilakukan olehnya.

Sukar difahami pendirian Darby, sama ada masih mempertahankan sistem 3-5-2 atau kekal dengan 4-4-2, itu pun setelah akur dengan desakan peminat, namun yang pasti masalah kekurangan pemain di benteng pertahanan dijadikan alasan mengapa dia menggunakan formasi kegemarannya sebelum ini.

“Saya tidak kisah formasi apa sekali pun kami gunakan. Seperti saya beritahu sebelum ini, kami bermain 3-5-2, jika penjaga gol menangkis serangan dan penyerang menjaringkan gol, semua formasi yang anda gunakan sama sahaja dan berupaya menampung kekuatan pasukan.

“Kami bermain 4-4-2 malam ini kerana sekarang kami ada ramai pemain pertahanan. Sebelum ini kami tiada pemain dan itu merupakan masalah besar bagi Kelantan. Kami menang bukan kerana 4-4-2 tetapi kerana menjaringkan lebih banyak gol. Itu yang membezakannya,” katanya di sidang media, malam kelmarin.

Jurulatih kelahiran England itu bagaimanapun tidak menolak akan menggunakan formasi berkenaan pada aksi seterusnya termasuk perlawanan terdekat saingan Liga Super, Kelantan menentang T-Team di Kota Bharu pada Sabtu ini.

Mengulas mengenai kemenangan tersebut, Darby mengakui secara keseluruhannya dia berpuas hati dengan prestasi anak didiknya namun sedikit kecewa setelah membenarkan PKNS FC menjaringkan dua gol pada perlawanan itu.

“Kalau boleh kami mahu menang 6-0 tetapi itu tidak berlaku. Kami mungkin boleh menang 4-2 tetapi kecemerlangan penjaga gol lawan menafikan hasrat kami. Apa pun saya tetap gembira dengan kemenangan ini. Saya tidak akan gembira jika Kelantan seri atau kalah kepada PKNS FC malam ini (malam kelmarin).

“Anda tidak boleh mempertikaikan sumbangan pemain saya. Mereka bekerja keras sepanjang perlawanan ini. Saya lihat kedua-dua pasukan keletihan tetapi kami tiada alasan di sebalik perkara ini dan sebab itu saya menggilirkan pemain pada perlawanan ini,” katanya.

Menurutnya, dia akan terus menggunakan sistem penggiliran pemain memandangkan pasukannya berdepan dua perlawanan penting iaitu menentang T-Team dalam saingan Liga Super dan PKNS FC pada aksi timbal balas kedua Piala FA dalam tempoh empat hari.

SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE 13.2.14

No comments:

Post a Comment