Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my
PARA pemain T-Team bersedia untuk melakukan sumpah al-Quran seperti yang
diarahkan oleh Ahmad Said.
DEMI mencari kebenaran, para pemain skuad Liga Super T-Team bersedia
melakukan sumpah al-Quran seperti yang diminta Menteri Besar Terengganu, Datuk
Seri Ahmad Said kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab. Rasid Jusoh berkata, kesemua para
pemain beragama Islam pasukan T-Team bersedia menunaikan tanggungjawab tersebut
pada bila-bila masa sahaja.
"Buat masa ini, kami masih menunggu tarikh sesuai yang ditetapkan
untuk mengangkat sumpah al-Quran seperti yang diminta oleh Menteri Besar
(Terengganu)," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu semalam.
Semalam, akhbar Kosmo! melaporkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri
Ahmad Said meminta para pegawai dan pemain T-Team mengangkat sumpah al-Quran
berhubung insiden kekecohan yang berlaku pada perlawanan pusingan kedua kempen
Piala FA ketika menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Tan Sri Haji
Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru pada Sabtu lalu.
Insiden tersebut berlaku dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain
pada waktu rehat separuh masa pertama di stadium berkenaan apabila pemain
T-Team dilaporkan telah dikasari.
Ekoran kejadian tersebut, T-Team membuat keputusan untuk menarik diri
daripada meneruskan aksi separuh masa kedua atas faktor keselamatan.
Tindakan T-Team itu mengakibatkan mereka tersingkir daripada kempen Piala
FA apabila Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) yang bermesyuarat Khamis lalu memberi kemenangan percuma 3-0
kepada Johor DT.
Mesyuarat yang dipengerusikan Naib Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah
itu mendapati tindakan T-Team itu telah melanggar Peraturan Pertandingan Liga
Malaysia (Liga M) 2013-2014 prerenggan 4.12.15 (b) kerana menarik diri dan
gagal meneruskan permainan pada perlawanan tersebut.
Ekoran itu, Ahmad Said telah meminta para pemain dan pihak pengurusan
T-Team melakukan sumpah al-Quran bagi mencari kebenaran terhadap apa yang
berlaku dalam terowong di tadium berkenaan sehingga mengakibatkan T-Team enggan
meneruskan permainan.
Ahmad Said juga meminta pihak Johor DT berbuat perkara yang sama bagi
mencari kebenaran.
Dalam pada itu, Rasid menambah, pasukan T-Team tidak mahu insiden tersebut
menjejaskan prestasi mereka dalam siangan liga, sebaliknya terus memberi
tumpuan dengan sisa-sia perjuangan dalam liga.
Katanya, ia merupakan satu cabaran kepada pasukan apabila Menteri Besar
Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said meminta meneruskan perjuangan demi sukan bola
sepak dan peminat negeri Terengganu.
"Kita sudah pasti akan memberi tumpuan sepenuhnya dalam saingan Liga
Super.
"Para pemain akan terus bekerja keras bagi memastikan mereka dapat
menyaingi pasukan lain untuk memperbaiki kedudukan dalam Liga Super,"
ujarnya.
KOSMO ONLINE 9.2.14
No comments:
Post a Comment