Ad

Monday, 10 February 2014

Selangor membara

Tanpa disangka Selangor yang tampil dengan persiapan sederhana termasuk dalam aspek pembelian pemain muncul pendahulu Liga Super selepas mengharungi empat perlawanan setakat ini.

Anak buah Mehmet Durakovic mencatatkan tiga kemenangan dan satu kekalahan untuk mengatasi saingan 11 pasukan lain dan Sime Darby FC menjadi mangsa terbaru Merah Kuning di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin menerusi dua jaringan Paulo Rangel untuk mencatatkan kemenangan 2-1.


“Walaupun kami berada pada kedudukan teratas liga, perasaan terlalu yakin tidak boleh wujud terutamanya ketika pungutan mata setiap pasukan adalah dekat dan saingan masih awal.



“Namun secara moralnya ia juga memberikan semangat kepada kami untuk meneruskan rentak kemenangan,” kata pemain tengah Selangor, Abdul Shukor Jusoh.


Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Terengganu mengekori rapat Selangor apabila masing-masing mengumpul tujuh mata selepas kedua-dua pasukan itu mencatatkan keputusan seri malam kelmarin.


Shukor turut tidak melihat pasukan itu terlalu bergantung kepada jaringan Rangel untuk meraih kemenangan walaupun penyerang Brazil itu sudah meledak enam daripada lapan gol yang dihasilkan Selangor selepas mengharungi empat perlawanan Liga Super dan dua aksi Piala FA.

Dua lagi jaringan hadir menerusi Fitri Shazawan Raduwan (menentang LionsXII) dan Junior Aparecido (menentang Harimau Muda C).


“Saya harap pandangan peminat tidak begitu. Jaringan yang dilakukan Rangel adalah hasil kerjasama rakan yang lain. Seperti permainan semalam (kelmarin), pemain lain juga mendapat peluang untuk meledak jaringan namun tidak bernasib baik. Mungkin pemain lain juga turut mampu meledak jaringan selepas ini,” katanya.

Selangor yang tidak terbabit dengan saingan suku akhir Piala FA selepas tewas pada pusingan kedua akan memanfaatkan tempoh rehat kira-kira seminggu untuk mempersiapkan pasukan bagi menentang Harimau Selatan, Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Sabtu ini.

SUMBER:Artikel ini disiarkan my METRO ONLINEpada : 2014/02/10

No comments:

Post a Comment